Skip to main content

Dunia

Delegasi tentera Amerika akan ke Beirut bagi selaras pelaksanaan 'zon perintis' Lubnan-Israel

Satu delegasi tentera Amerika Syarikat akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras dan mewujudkan mekanisme di lapangan untuk memulakan operasi di "zon perintis" yang dipersetujui di bawah perjanjian rangka kerja Lubnan-Israel, kata Duta Amerika Syarikat ke Lubnan Michel Issa pada Khamis (8 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Delegasi tentera Amerika akan ke Beirut bagi selaras pelaksanaan 'zon perintis' Lubnan-Israel

Kereta dan motosikal berlalu di hadapan papan iklan yang menampilkan gambar Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Mojtaba Khamenei dan bapanya Ali Khamenei di sepanjang lebuh raya menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri di Beirut, Lubnan pada 22 Jun 2026. (Gambar fail: Reuters/Mohamed Azakir)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 10:43PM
ISTANBUL: Satu delegasi tentera Amerika Syarikat akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras dan mewujudkan mekanisme di lapangan untuk memulakan operasi di "zon perintis" yang dipersetujui di bawah perjanjian rangka kerja Lubnan-Israel, kata Duta Amerika Syarikat ke Lubnan Michel Issa pada Khamis (8 Jul).

Pada 26 Jun, Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian gencatan senjata serta perjanjian rangka kerja yang ditaja Amerika Syarikat, yang memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan, bermula dengan dua "zon perintis" yang tidak dinyatakan lokasinya.

Encik Issa dilaporkan berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun di Beirut.

Menurut kenyataan itu, Encik Aoun dan Encik Issa turut membincangkan lawatan rasmi Presiden Lubnan ke Amerika Syarikat yang dijadualkan atas jemputan Presiden Donald Trump, selain perkembangan semasa di Lubnan dan rantau berkenaan.

Pada Rabu (8 Jul), satu sumber kanan Lubnan memaklumkan bahawa Encik Aoun diundang mengadakan lawatan ke Washington pada 21 Julai bagi mengadakan perbincangan dengan Encik Trump.

Lawatan itu dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian rangka kerja berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Encik Aoun menegaskan keperluan memperkukuh gencatan senjata di selatan Lubnan dan menggesa tekanan dikenakan ke atas Israel supaya menghentikan operasi ketenteraannya serta mematuhi perjanjian rangka kerja yang diumumkan susulan rundingan Lubnan-Amerika Syarikat-Israel di Washington.

Beliau turut menggesa supaya pengeboman, pemusnahan dan operasi menggunakan jentolak oleh Israel di bandar serta kampung yang masih diduduki tenteranya dihentikan.

Encik Issa berkata lawatan Encik Aoun ke Washington amat penting pada ketika ini dan mencerminkan minat Encik Trump terhadap Lubnan serta usaha untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di negara itu.

Mengulas mesyuarat yang dijadual berlangsung di Rome dari 14 hingga 15 Julai, Encik Issa berkata pemindahan lokasi perbincangan dari Washington ke ibu negara Itali itu dibuat semata-mata atas sebab teknikal bagi memudahkan urusan perjalanan duta dan anggota delegasi.

Encik Issa berkata mesyuarat di Rome akan bersifat penyelarasan dan pelaksanaan, dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian rangka kerja Washington, khususnya melalui penubuhan kumpulan kerja khusus bagi melaksanakan pengaturan yang dipersetujui, termasuk yang memerlukan kepakaran undang-undang atau teknikal.

Rundingan di Rome akan meneruskan persefahaman yang dicapai di Washington, sambil menambah bahawa mesyuarat susulan akan diadakan di Rome atau lokasi lain bagi memantau pelaksanaan berperingkat perjanjian itu.

Mengenai garis masa pelaksanaan "zon perintis", Encik Issa berkata persiapan sedang giat dijalankan dan satu delegasi tentera Amerika Syarikat akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras serta mewujudkan mekanisme pelaksanaan di lapangan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang jurang keselamatan apabila tentera Israel berundur dari kawasan yang ditetapkan, sambil menambah bahawa jadual pelaksanaan di lapangan bergantung kepada hasil mesyuarat penyelarasan.

Israel meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan sejak 2 Mac, meragut nyawa lebih 4,300 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain, menurut angka rasmi.

Tentera Israel juga terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk kawasan yang diduduki selama beberapa dekad serta kawasan yang ditawan ketika perang 2023-2024, selain mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan semasa serangan terbaharu.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita