Defisit pembiayaan bagi pelarian Palestin hanya 10% meski AS tarik balik bantuan PBB
Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi para pelarian Palestin mempunyai defisit pembiayaan hanya sebanyak 10 peratus selepas beberapa negara tampil menghulurkan sumbangan bagi menampung kekurangan yang disebabkan penarikan balik sokongan kewangan oleh Amerika Syarikat.

Anak-anak Palestin bermain di tepi jalan di Gaza. (Gambar: Mahmud Hams/AFP)
NEW DELHI: Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi para pelarian Palestin mempunyai defisit pembiayaan hanya sebanyak 10 peratus selepas beberapa negara tampil menghulurkan sumbangan bagi menampung kekurangan yang disebabkan penarikan balik sokongan kewangan oleh Amerika Syarikat. Demikian menurut Duta Palestin ke India.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sudah "membesar-besarkan" peranannya dalam usaha mengenakan tekanan dari segi kewangan ke atas Palestin, dan dalam proses itu "sudah kehilangan beberapa sekutu terbaik" Amerika Syarikat di Timur Tengah, kata Encik Adnan Abu Alhaija ketika sambutan ‘Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin’ di New Delhi pada Khamis (29 Nov).
Jabatan Negara Amerika Syarikat sudah mengumumkan pada 31 Ogos bahawa Washington tidak lagi akan menyalurkan dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta menyifatkannya sebagai satu "operasi cacat yang tidak dapat ditebus."
Usaha UNRWA memanfaatkan kira-kira lima juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat dan Gaza.
Duta Palestin itu berkata memandangkan banyak negara sahabat yang tampil menghulurkan bantuan, jurang dalam dana UNRWA "hanyalah 10 peratus berbanding jumlah terdahulu sebelum Amerika Syarikat membuat keputusan untuk menarik balik bantuannya."
Beliau berkata Amerika Syarikat berharap Palestin akan tunduk di bawah tekanan itu dan menerima "tuntutan tidak sah negara tersebut" yang memihak kepada Israel.
Duta itu berkata pentadbiran Amerika Syarikat "tidak pernah menjadi pengantara yang adil" dan sering mempamerkan pendirian pro-Israel tanpa mengira parti mana yang memerintah, sama ada Republican atau Democrat.
Dengan Presiden Trump yang secara terbuka memihak kepada Israel, "topeng kepuraan-puraan negara itu selama ini sudah lenyap dan wajah sebenar serta asli dasar Amerika kini boleh dilihat dengan jelas oleh semua orang," kata Encik Alhaija kepada hadirin yang turut membabitkan diplomat kebanyakan negara Islam.
Beberapa dasar Encik Trump, terutama keputusan beliau untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sudah membangkitkan kemarahan Palestin.
Sambil menggesa agar tekanan terhadap Israel dipertingkat, duta Palestin itu berkata kempen boikot antarabangsa, pelaburan negatif dan sekatan (BDS) sudah "menyebabkan pelobi rejim Zionis itu berang" kerana ia sudah berjaya dicapai tanpa sebarang kekerasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.