Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Debat perdana Najib, Anwar pada 12 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Debat perdana Najib, Anwar pada 12 Mei

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Apr 2022 05:10PM Dikemas Kini : 17 Apr 2022 05:10PM

KUALA LUMPUR: Debat Perdana antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri Najib Razak dijadualkan berlangsung pada 12 Mei  di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya,  pada pukul 9 malam.  

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata format debat perdana yang dijangka berlangsung selama dua jam itu merangkumi tiga bahagian, dengan yang pertama berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

Beliau berkata bahagian kedua akan berkisar kepada ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara, dan yang ketiga dikhususkan kepada sesi soal jawab.

“Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal debat perdana itu akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media bersama Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil pada Ahad (17 Apr).

Menurutnya program itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan idea yang berbeza dalam suasana aman dengan mencerminkan budaya politik matang.

Mengulas mengenai kehadiran pada program debat perdana itu, beliau berkata kapasiti Dewan Tunku Canselor dapat memuatkan kira-kira 500 orang selepas mengambil kira langkah jarak selamat mengikut prosedur operasi standard dalam membendung jangkitan COVID-19.

“Kami telah berbincang mengenai jemputan (secara fizikal), satu pertiga terdiri daripada kelompok yang dijemput  Anwar, satu pertiga lagi jemputan  Najib, dan satu pertiga lagi terdiri daripada tetamu kehormat, serta media yang akan kita pilih sebagai rakan.

“Di luar dewan itu juga ada kawasan dan kita akan pasang khemah serta skrin besar untuk disiarkan kepada mereka yang hadir di lokasi kerana di dalam dewan ada kekangan (kapasiti jemputan),” katanya.

Sumber : Bernama/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa