Skip to main content

Dunia

Datuk Bandar New York larang kebanyakan pelajar guna AI selama setahun

Para pegawai New York City mengumumkan moratorium selama setahun terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh para pelajar di sekolah rendah dan menengah awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Datuk Bandar New York larang kebanyakan pelajar guna AI selama setahun

Datuk Bandar New York Zohran Mamdani berucap di samping Gabenor New York Kathy Hochul semasa sebuah sidang media di New York City, Amerika Syarikat, pada 1 September 2026. (Gambar: REUTERS/Heather Khalifa)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 08:55AM
NEW YORK: Para pegawai New York City mengumumkan moratorium selama setahun terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh para pelajar di sekolah rendah dan menengah awam. Ia merupakan langkah terbaharu pihak berkuasa untuk menetapkan garis panduan berhubung penggunaan teknologi baharu di dalam bilik darjah.

Langkah yang diambil oleh daerah sekolah terbesar di Amerika Syarikat itu merupakan sekatan paling ketat setakat ini di negara tersebut.

Dalam pada itu, daerah-daerah lain, termasuk Los Angeles, menyatakan mereka sedang menyemak dasar berkaitan AI.

Datuk Bandar Zohran Mamdani memberitahu para wartawan pada Rabu (2 Sep) bahawa sekolah-sekolah akan menghentikan penggunaan sekitar 40 alat pendidikan yang kini digunakan di bilik darjah di New York City.

"Kanak-kanak memerlukan guru dan hubungan sesama manusia untuk belajar dan berkembang. Mereka perlu membina kemahiran bersama rakan sebaya, menjalin hubungan dengan para pendidik dan berusaha menyelesaikan sendiri masalah yang sukar," kata Encik Mamdani dalam satu sidang media.

Syarikat-syarikat utama yang membangunkan AI, Google, Anthropic dan Microsoft, tidak segera menjawab permintaan untuk memberikan komen.

Dasar tersebut akan menjejas sekitar 600,000 pelajar sekolah awam sehingga gred lapan, manakala para pelajar sekolah menengah atas dibenarkan untuk menggunakan AI dalam keadaan tertentu.

Para guru pula dibenarkan untuk menggunakan AI untuk merancang pelajaran dan melaksanakan tugas seperti penyusunan jadual, menurut kenyataan pihak bandar.

Sekolah awam New York City sebelum ini mengenakan larangan sementara terhadap ChatGPT sejurus selepas ia dilancarkan pada 2022. Sekatan tersebut kemudian ditarik balik dan digantikan dengan pembantu pengajaran khusus yang dikuasakan AI, menurut Microsoft, yang merupakan pemilik bersama OpenAI, syarikat yang menghasilkan ChatGPT.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita