Skip to main content

Dunia

Datuk Bandar Johor Bahru disyaki terima wang suapan direman 3 hari

Datuk Bandar Johor Bahru, Adib Azhari Daud, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Datuk Bandar Johor Bahru disyaki terima wang suapan direman 3 hari

Datuk Bandar Johor Bahru, Adib Azhari Daud, tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru dengan diiringi pegawai SPRM pada 11 Ogos 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 04:00PM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 04:04PM

JOHOR BAHRU: Datuk Bandar Johor Bahru, Adib Azhari Daud, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Bernama melaporkan perintah reman ke atas pegawai kanan berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (11 Ogos).

Permohonan reman dikemukakan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 (S$3,200), mengikut mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Adib yang memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret pada kira-kira 9.00 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ​​mengesahkan penahanan Adib, yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan kini bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Adib ditahan di pejabat SPRM Johor setelah disoal siasat berkaitan dakwaan menerima rasuah daripada kontraktor untuk meluluskan projek.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika dia memegang jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri antara Nov 2017 hingga Nov 2019, lapor Malaysiakini menukil media tempatan.

Ini merupakan kali pertama seorang datuk bandar yang masih memegang jawatan ditahan kerana disyaki melakukan rasuah, menurut Malaysiakini.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita