Data FBI dipercayai digodam dedah maklumat sensitif tugas perisikan pegawai
Data Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri kumpulan penggodam ShinyHunters mengandungi maklumat sensitif mengenai tugas puluhan pegawai agensi itu, termasuk kerja perisikan dan keselamatan, menurut penelitian Reuters.
Bangunan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Washington, Amerika Syarikat, pada 28 November 2025. (Gambar fail: REUTERS/Nathan Howard)
- Data FBI yang didakwa dicuri ShinyHunters mengandungi maklumat peribadi ribuan kakitangan, termasuk nama, alamat, nombor telefon, tarikh lahir, nombor keselamatan sosial dan hubungan kecemasan.
- Rekod itu juga memaparkan penugasan di pejabat lapangan tertentu serta unit sensitif berkaitan perisikan, keselamatan, risikan balas, perisik China, perisikan Rusia dan kartel dadah.
- FBI menyatakan ia maklum dakwaan pencerobohan portal FBIJobs.gov dan sedang menyiasat, sementara punca kebocoran belum dikenal pasti.
- ShinyHunters mendakwa menahan data sehingga FBI menarik balik kenyataan Mei, manakala Reuters hanya mengesahkan sebahagian rekod melalui District 4 Labs.
Menurut ShinyHunters, sekitar 5,000 rekod yang didedahkan itu hanya sebahagian kecil daripada data berjumlah antara dua hingga tiga terabait yang didakwa dicurinya.
Data itu mengandungi nama, alamat, nombor telefon, tarikh lahir, nombor keselamatan sosial dan butiran hubungan kecemasan bagi individu yang didakwa sebagai ribuan kakitangan FBI.
Ia turut mengandungi maklumat mengenai penugasan di pejabat lapangan tertentu dan, dalam sesetengah kes, unit yang menjalankan tugas sensitif melibatkan perisikan, keselamatan atau risikan balas.
Antaranya termasuk tugas berkaitan perisik China, perisikan Rusia dan kartel dadah.
FBI SIASAT DAKWAAN PENCEROBOHAN
Dalam satu kenyataan, FBI menyatakan ia maklum mengenai sebuah kumpulan jenayah siber yang mendakwa sudah menceroboh portal FBIJobs.gov dan menjejas maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti milik kakitangan FBI.
Punca kebocoran itu masih belum dikenal pasti dan FBI menyatakan ia sedang menjalankan siasatan secara aktif.
ShinyHunters pada Selasa (22 Sep) mendakwa ia menceroboh FBI dan mencuri data melibatkan sejumlah besar kakitangan semasa dan mantan kakitangan agensi itu.
Kumpulan tersebut mendakwa ia menahan data berkenaan sehingga FBI menarik balik satu kenyataan mengenai ShinyHunters yang dikeluarkan pada Mei.
Pada Rabu (23 Sep), ShinyHunters menyatakan ia sedang cuba menghalang maklumat kakitangan tersebut daripada tersebar secara meluas buat masa ini.
Reuters belum dapat mengesahkan kesahihan keseluruhan data tersebut.
Namun, agensi berita itu berjaya mengesahkan secara berasingan butiran lebih 22 individu dengan membandingkan maklumat dalam data yang digodam dengan rekod kredit dan kebocoran data terdahulu yang terdapat pada wadah perisikan 'web gelap' District 4 Labs.
ShinyHunters sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa serangan siber besar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.