Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dasar sifar COVID-19 mudaratkan 75% firma Eropah di China

Anggaran Waktu Membaca:
Dasar sifar COVID-19 mudaratkan 75% firma Eropah di China

Gambar: AFP/File/Hector RETAMAL

Diterbitkan : 21 Sep 2022 06:43PM Dikemas Kini : 21 Sep 2022 06:43PM
BEIJING: Dasar sifar COVID-19 China yang "tidak fleksibel dan konsisten" melumpuhkan operasi perniagaan Eropah di negara itu.

Demikian dinyatakan lobi perniagaan utama pada Rabu (21 Sep) sekali gus memberi amaran bahawa kehadiran syarikat-syarikat Eropah itu "tidak boleh lagi dipandang remeh".

Laporan oleh Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah (EU) di China menandakan kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh komuniti perniagaan asing bahawa sekatan ketat terhadap virus yang dikuatkuasakan Beijing memudaratkan ekonomi kedua terbesar di dunia itu dan memencilkannya di peringkat antarabangsa.

China adalah ekonomi utama terakhir yang terikat dengan strategi untuk menghapuskan penularan virus yang muncul, melalui gabungan perintah berkurung yang dikenakan serta-merta, ujian besar-besaran dan tempoh kuarantin yang lama.

Meskipun sudah mencetuskan penutupan perniagaan dan rantaian bekalan global, Presiden Xi Jinping mengisytiharkan bahawa pendekatan itu adalah yang paling "menguntungkan dan berkesan" buat China untuk maju ke hadapan.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menyatakan bila peraturan-peraturan itu akan dilonggarkan.

Dewan Kesatuan Eropah, terdiri daripada lebih 1,800 syarikat Eropah di China, menyatakan dalam kertas kedudukan bahawa dasar sifar COVID dan "ketidaktentuan yang besar" membawa "kesan negatif" kepada 75 peratus operasi anggotanya.

Dewan itu menambah keadaan tersebut mendorong hampir 25 peratus daripada firma untuk mempertimbangkan untuk mengalihkan pelaburan semasa atau yang sudah dirancang keluar dari China. Ia merupakan peratusan tertinggi dalam tempoh sedekad yang lalu.

Jika Beijing masih berkeras untuk meneruskan dengan dasar itu, "persekitaran perniagaan akan terus menjadi lebih mencabar", menurut laporan itu.

Para pengamat menyatakan bahawa China tidak akan mencapai sasaran pertumbuhan tahunannya sekitar 5.5 peratus dengan margin yang luas.
Sumber : AFP/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa