Skip to main content

Dunia

Darurat jerebu di Serian: JAS tingkat pemantauan, penguatkuasaan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan mutu udara ke tahap tertinggi pada Sabtu malam (5 Sep) berikutan pengisytiharan darurat di Bahagian Serian, Sarawak selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah paras berbahaya 477.

Anggaran Waktu Membaca:
Darurat jerebu di Serian: JAS tingkat pemantauan, penguatkuasaan

Keadaan berjerebu yang dirakam di Jalan Serian-Sri Aman pada 4 September 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 10:31AM
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan pemantauan udara dan kesiapsiagaan selepas darurat diisytiharkan di Serian, Sarawak akibat IPU berbahaya.
  • JAS memperkukuh rondaan dan operasi mencegah pembakaran terbuka di kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.
  • Pengurusan bencana dilaksanakan bersama NADMA, kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
  • Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap pembakaran terbuka, dengan pemantauan berterusan dan penggunaan dron di kawasan terjejas.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan mutu udara ke tahap tertinggi pada Sabtu malam (5 Sep) berikutan pengisytiharan darurat di Bahagian Serian, Sarawak selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah paras berbahaya 477.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, jabatan tersebut memandang serius perkembangan mutu udara semasa dan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

“JAS mengambil maklum pengisytiharan darurat di seluruh Serian berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

“Dalam konteks ini, JAS ingin menegaskan bahawa bidang kuasa dan tanggungjawab JAS adalah kepada pemantauan kualiti alam sekitar, pencegahan dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta sumber pencemaran yang tertakluk di bawah peruntukan undang-undang alam sekitar,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pengurusan bencana secara keseluruhan pula dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengikut peranan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing.

Selain Serian, tiga lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching (299), Samarahan (286), dan Sri Aman (247). Selain itu, 18 kawasan di seluruh negara turut berada pada tahap tidak sihat.

Bagi menangani situasi tersebut, kata beliau, JAS Sarawak memperkukuh Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) melalui rondaan tertumpu di lokasi berisiko tinggi seperti kawasan tanah gambut, hutan, tapak pelupusan sampah dan tapak pertanian.

"JAS turut memantau rapi kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Jalan Sibujaya Barat (10 hektar) dan Sungai Nai, Daro (3 hektar) di Mukah. Penerbangan dron akan dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran pemantauan terkini di kawasan terjejas.

“Sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS,” kata beliau.

Cik Azuri Azizah berkata, JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, OMPT dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang ditetapkan bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan.

“Dalam keadaan semasa, JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya sekiranya aktiviti tersebut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tindakan pencegahan, pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan bukti serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada JAS,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita