Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Darjah kebesaran akan eratkan lagi hubungan Johor & S'pura, kata Persatuan Anak Melayu Johor

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pengurniaan darjah kebesaran kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan meningkatkan lagi keakraban dan persahabatan antara Johor dan Singapura yang telah terjalin sejak sekian lama.

Bahkan, ia juga dijangka akan merancakkan lagi ekonomi Johor dan Singapura memandangkan sempadan negara di Tambak Johor sudah dibuka selepas lama ditutup akibat COVID-19, seperti dinukil daripada Astro AWANI. 

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor, Syed Hussien Al Habshee berkata, PAMJ berharap pimpinan baru Johor akan terus menjalin hubungan yang sedia erat demi kesejahteraan sejagat kedua-dua pihak.

"PAMJ juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura di atas kesudian beliau menerima pengurniaan ini di atas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Johor dan Singapura.

"Hubungan yang sedia erat serta istimewa ini yang saling kebergantungan di antara satu sama lain diharapkan akan terus berkembang maju demi kemakmuran bersama Johor dan Singapura," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (7 Mei).

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengurniakan darjah kebesaran tertinggi kepada PM Lee dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Besar baru-baru ini.

Menurut Sultan Ibrahim, pengurniaan itu akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat Johor dan Singapura yang terjalin sejak sekian lama.

Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) yang membawa gelaran “Datuk” kepada Perdana Menteri Singapura, lapor Astro AWANI.

Di majlis istiadat yang sama, Sultan Johor turut mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Datuk Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Puan Ho Ching yang membawa gelaran “Datin Paduka”.

Sumber : Agensi berita/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan