Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dari kemeja-T hingga ke payung, perang cenderahati sepanjang kempen PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Parti-parti politik menunjukkan daya kreatif masing-masing sepanjang musim kempen pilihan raya ke-15 (PRU15) ini, bukan sahaja menerusi 'perang' bendera tetapi juga cenderahati yang diberi atau yang dijual kepada orang awam.

Lantaran itu, perniagaan tidak mahu melepaskan peluang untuk meraih untung.

Sebuah kedai percetakan di Johor misalnya menyaksikan peningkatan 30 peratus dalam tempahan poster, sepanduk, dan baju-T.

Kedai SunBear Performance, menjangkakan lebih banyak permintaan disebabkan demam pilihan raya yang melanda negara itu.

Encik Ong Yee Hean, pengasas kedai itu, berkata beliau berharap jualan akan meningkat seperti mana yang dialaminya pada pilihan raya negeri Mac lalu.

"Sekiranya tempahan datang pada saat-saat akhir, kami boleh mengambil bekalan baju-T, topi dan barangan seperti payung yang seda ada dan hanya mencetak logo," kata beliau.

Parti-parti politik Malaysia membelanjakan berjuta-juta dolar untuk berkempen bagi pilihan raya 19 Nov, dan banyak perniagaan dalam pelbagai industri tidak melepaskan peluang untuk menjana pendapatan tambahan.

PERNIAGAAN TEMPATAN PUNYA POTENSI

Ketua Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia Bahagian Johor, Azrol Rahani berkata: "Banyak parti membuat pesanan dari China, tetapi banyak perniagaan tempatan sebenarnya mempunyai keupayaan untuk memenuhi pesanan.

"Setiap musim pilihan raya, perniagaan tempatan sentiasa bersedia untuk mengambil peluang untuk menjana pendapatan tambahan."

Beliau menambah bahawa bekerja dengan perniagaan tempatan juga membantu membina hubungan dengan masyarakat.

Restoran juga menjangkakan dapat meraih faedah daripada kesan perbelanjaan pilihan raya. Mereka tidak sabar untuk menerima lebih ramai pelanggan, terutamanya semasa acara menemui penduduk dan rapat pilihan raya di kawasan berhampiran.

Restoran Dong Yuan Kitchen, misalnya, menjadi tempat popular bagi anggota politik semasa beberapa pilihan raya yang lalu dan berharap untuk menggandakan jualannya pada musim pilihan raya ini.

Sebagai persiapan menjelang pilihan raya 19 Nov, restoran itu menggajikan pekerja sementara untuk menampung permintaan yang lebih tinggi.

Dengan sekatan COVID-19 dilonggarkan, anggota politik berharap untuk mengunjungi lebih banyak kedai makan, yang dilihat sebagai tempat berkempen yang baik.

Ketua Pemuda Persatuan Cina Malaysia bagi kawasan Kulai, Chua Jian Boon berkata parti itu menghadapi sekatan semasa kempen sebelumnya, "jadi sebab itu kami tidak dapat mengunjungi lebih banyak kopitiam (kedai kopi) kerana masa terhad".

Kali ini, Encik Chua merancang untuk menambah senarai restoran yang dilawatinya sebanyak 30 peratus.

OPTIMIS TETAPI BERHATI-HATI

Pengendali syarikat yang ditemui Mediacorp berkata, mereka faham bahawa peningkatan dalam perniagaan bukanlah keuntungan jangka panjang, dan mereka tidak boleh bergantung pada tempoh pilihan raya untuk memastikan pemulihan ekonomi yang berkekalan.

"Jika parti itu menang, saya yakin membuat bayaran mungkin bukan satu isu besar. Tetapi bagaimana jika mereka di pihak yang kalah?" kata Encik Teh Kee Sin, presiden pengasas Persatuan Syarikat-syarikat Kecil dan Sedehana Johor Selatan.

“Kami bimbang bayaran mungkin tidak dapat dilangsaikan sepenuhnya. Beberapa perusahaan kecil dan sederhana pernah mengalami perkara ini sebelum ini."
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan