Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dapatkah daun ketum diluluskan di Indonesia di tengah-tengah potensi besar eksport?

Perbincangan tentang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan tidak boleh terlepas daripada persoalan sekitar daun ketum, yang turut menjadi sumber utama pendapatan para petani di Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Keputusan kerajaan Thailand Jun lalu untuk melonggarkan penggunaan ganja mendapat reaksi berbeza-beza di kalangan negara-negara jirannya.

Ini atas alasan untuk penggunaannya sebagai ubat, bagi tujuan kesihatan.

Satu lagi jenis tumbuhan yang mirip daun ganja adalah ketum dengan Asia Tenggara merupakan pengeksport terbesar daun ketum ke Eropah dan Amerika.

Mungkinkah ubat tradisional yang mempunyai kesan serupa ganja itu akan tetap dibenarkan penggunaannya?

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkunjung ke Bangkok, antara lain untuk mengkaji kemungkinan melonggarkan penggunaan ganja di Malaysia untuk tujuan perubatan.

Namun Menteri Undang-Undang K Shanmugam dalam beberapa wawancara media bertegas bahawa bagi Singapura, penggunaan sedemikian masih terlalu jauh untuk menjadi kenyataan di sini.

Ini memandangkan belum ada kajian serta bukti santifik yang menunjukkan manfaat penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

Di Indonesia, ganja tetap diletakkan di bawah senarai Narkotik Golongan 1, dan penggunaannya dilarang sama sekali, kecuali untuk tujuan penyelidikan di makmal.

Malah, dua tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan Indonesia sempat menolak rayuan agar ganja dibenarkan untuk tujuan perubatan.

Ketua Fakulti Farmasi Universiti Gajah Mada Prof Zullies Ikawati menjelaskan sebabnya.

"Walaupun dengan alasan, ini untuk perubatan, kerana sekali paip air dibuka, dibuka kesempatan untuk menggunakan ganja secara lebih bebas begitu, berapa peratus sebetulnya yg benar-benar menggunakannya untuk perubatan, selebihnya pasti ingin mencuba untuk rekreasi. Itu yang kita khuatir.

"Kalau saya peribadi, tetap ganja Golongan 1, kalau misalnya ada perkembangan ilmu pengetahuan, kalau memang boleh ada yang lebih aman, boleh dimasukkan dalam Golongan 2 begitu," kata Prof Zullies.

ANTARA GANJA DENGAN KETUM

Perbincangan tentang kegunaan ganja untuk tujuan perubatan, tidak boleh terlepas daripada persoalan sekitar daun ketum, yang turut menjadi sumber utama pendapatan para petani di Indonesia.

Tanaman yang banyak terdapat di Asia Tenggara ini, sudah sekian lama digunakan sebagai ubat tradisional, walaupun memiliki ciri-ciri yang serupa dengan ganja.

Memandangkan pelbagai kesan mudarat yang timbul, Kementerian Kesihatan Indonesia sudahpun melarang penggunaannya sebagai bahan untuk sejumlah produk.

Prof Zullies menjelaskan: "Itu pada 2016 telah membuat satu edaran atau peraturan, bahawa ketum ini tidak boleh masuk dalam bahan yang digunakan ubat tradisional dan suplemen makanan.

"Jadi masuk dalam senarai negatif, istilahnya kerana dia juga mengandungi bahan-bahan psikoaktif, misalnya ‘Mitragynine’ ini setelah kita pelajari, ia juga bekerja kepada reseptor otak, reseptor untuk bahan-bahan candu, sehingga ia memiliki kesan-kesan seperti candu, itu yang perlu menjadi perhatian.

"Walaupun kandungannya ada macam-macam, sehingga juga mungkin ada manfaat lain. Tetapi ketika berpotensi ada risiko, harus menjadi perhatian."

POTENSI PASARAN KETUM

Walaupun eksport ketum mempunyai potensi cukup besar, Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia menetapkan sasaran menghalang penggunaannya.

Menjelang 2023, semua tanaman ketum akan dilarang, dan pengambilannya pula dihentikan sama sekali pada 2024.

Namun usulan itu menimbulkan keprihatinan pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Ketum Amerika (AKA) yang meminta jaminan bahawa ia tidak akan menjejas eksport produk itu ke Amerika.

Sementara itu, gabenor Kalimantan Barat turut mempersoalkan keputusan BNN tersebut kerana menjejas kesejahteraan lebih ratusan ribu petani di wilayahnya.

Kementerian Pertanian Indonesia sendiri menyenaraikan ketum sebagai tanaman yang berpotensi untuk ditingkatkan eksportnya.

Prof Zullies berkata: "Saya kira ini kerana dilihat dari kepentingan yang berbeza, kepentingan ekonomi dan kepentingan kesihatan yang kadang-kadang tolak ansur itu harus dicapai.

"Kita masih punya banyak masalah dengan penagihan dadah, jadi perlu berhati-hati untuk memutuskan dasar untuk menambah lagi potensi ini.

"Masalahnya kita punya satu beban negara, penduduk yang sangat besar, 270 juta, saya kira kalau kita salah melangkah utuk mengambil satu dasar, kesannya boleh cukup terasa.

"Saya kira harus perlukan waktu, bahawa semua pihak harus duduk bersama untuk membincangkannya, terutama manfaat dan risiko jangka panjang untuk ketum ini dan perlu diatur."

Tambah Prof Zullies, lebih banyak kajian saintifik masih diperlukan, khususnya bagi tanaman ketum, sebelum satu keseimbangan baru dapat dicapai.
Sumber : CNA/IQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan