Skip to main content

Dunia

DAP kekal setia bersama PH meski sokongan merosot: Anthony Loke

Anggaran Waktu Membaca:
 DAP kekal setia bersama PH meski sokongan merosot: Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 08:06AM Dikemas Kini : 17 Jul 2026 08:07AM
KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Malaysia tidak akan meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum tamat penggal kerajaan semasa, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Beliau menegaskan semula ikrar tersebut dalam satu temu bual bersama Mediacorp menyusuli prestasi hambar parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu, dan menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos serta kongres khas parti yang penting pada 16 Ogos.

"Dalam konteks politik Malaysia, saya tidak fikir DAP boleh pergi jauh jika kami bergerak secara solo," kata Encik Loke, merujuk kepada demografi dan sistem pemerintahan negara itu.

Orang Melayu dan Bumiputera membentuk kira-kira 70 peratus daripada 31 juta rakyatnya, manakala kaum Cina merangkumi sekitar 22 peratus dan kaum India sekitar 6.5 peratus.

Walaupun "mudah" untuk bergerak solo, kata Encik Loke, "anda hanya boleh memainkan peranan sebagai pembangkang".

"Anda tidak boleh menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara. Anda tidak boleh terlibat dalam proses tadbir urus," tambahnya dalam temu bual pada Isnin (13 Julai).

"Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan kepada kerajaan dan masyarakat, anda perlu berada dalam kedudukan kuasa... Saya seorang yang percaya kepada politik gabungan."

Menarik diri daripada pakatan PH bermakna terjerat dalam perangkap yang dipasang oleh seteru politik yang "tidak mahu DAP berada dalam kerajaan", kata Encik Loke, 49 tahun, yang juga Menteri Pengangkutan.

Dengan 40 kerusi parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota, DAP menyumbang kerusi terbanyak kepada PH, yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Encik Anwar dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Kerajaan Persekutuan Malaysia juga dianggotai oleh gabungan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti kecil lain dan ahli bebas.

Bagaimanapun, di peringkat negeri, PH dan BN menjadi pesaing di beberapa negeri seperti Johor, di mana ahli politik daripada kedua-dua gabungan tersebut sering berbalas kenyataan yang tajam.

Bagi Negeri Sembilan, PH telah mengumumkan rancangan untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.

BN pula menyatakan ia akan bertanding di 25 kerusi, manakala 11 kerusi selebihnya dijangka diperuntukkan kepada parti-parti lain.

Terdapat desas-desus bahawa BN akan membentuk pakatan dengan komponen gabungan pembangkang Perikatan Nasional, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Wawasan Negara yang baru ditubuhkan dan dipimpin oleh ketua pembangkang Hamzah Zainudin.

KEKANGAN POLITIK GABUNGAN

DAP yang majoritinya dianggotai kaum Cina kehilangan sokongan dalam dua pilihan raya negeri yang lalu.

Dalam PRN Sabah pada November 2025, parti itu kalah di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya - sangat berbeza berbanding PRN Sabah 2020 apabila mereka memenangi enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi, malah ada yang menang dengan majoriti besar.

Perkara ini menyebabkan beberapa pihak mempersoalkan masa depan parti itu dalam PH dan mencadangkan agar ia mempertimbangkan untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Dalam minggu-minggu berikutnya, DAP mengemukakan beberapa tuntutan berani kepada kerajaan yang dianggotainya sendiri, termasuk gesaan kontroversial untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah Cina.

Para penganalisis berkata pada masa itu bahawa parti berkenaan - yang mempunyai latar belakang sebagai parti pembangkang yang lantang - sedang mengambil pendirian reformis yang agresif untuk menuntut semula identiti politiknya.

Di Johor pada 11 Julai, DAP hanya memenangi enam daripada 17 kerusi yang ditandingi, merosot daripada 10 kerusi yang dimenangi pada 2022. PH memenangi lapan kerusi secara keseluruhannya - dengan PKR dan Amanah masing-masing mendapat satu kerusi - manakala BN menyapu bersih 48 kerusi.

Lebih penting lagi, pesaing DAP iaitu parti komponen BN, Persatuan Cina Malaysia (MCA), memenangi lapan kerusi di Johor, menyebabkan sesetengah penganalisis menilai bahawa lebih ramai pengundi bukan Melayu kini beralih arah daripada DAP dan PH.

Encik Loke berkata DAP bersikap "lantang" terhadap isu-isu tertentu, namun sesetengah penyokong mendakwa parti itu masih tidak cukup lantang.

"Selepas menjadi kerajaan, saya sering mengingatkan mereka bahawa dalam kerajaan, apa yang penting adalah pelaksanaan," katanya.

"Ia bukan tentang seberapa kuat anda menjerit, tetapi seberapa banyak yang boleh anda lakukan dalam kekangan politik gabungan dan dalam kekangan kerajaan."

Encik Loke menjelaskan bahawa di bawah pentadbiran Encik Anwar, pertumbuhan ekonomi kekal "konsisten" pada kadar sekitar 5 peratus setahun, dan kedudukan Malaysia di persada global semakin meningkat.

"Sebagai ahli politik, kami tahu perkara ini tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peringkat akar umbi kerana ia mungkin tidak dirasai oleh mereka," katanya.

Menguruskan kerajaan yang stabil di samping agenda reformasi adalah satu tindakan yang memerlukan keseimbangan, katanya, sambil memetik usaha kerajaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun dan mengasingkan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya yang berdepan jalan buntu di parlimen.

"Sudah tentu, dari sudut pandangan DAP, kami pastinya berharap agar rentak reformasi dapat berjalan lebih pantas," katanya.

"Namun realitinya ialah ada pihak yang cuba menyekat reformasi tersebut."

Matlamat dan idealisme DAP, kata Encik Loke, adalah "sangat mudah".

"Kami mahu memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah masyarakat yang berbilang budaya, agama dan inklusif."

Bagi kongres khas pada 16 Ogos ini, perwakilan parti dijadual mengundi sama ada pemegang jawatan parti - termasuk lima menteri penuh Kabinet dan enam timbalan menteri - patut melepaskan jawatan mereka, walaupun parti itu akan mengekalkan sokongan parlimen terhadap kerajaan persekutuan.

Kongres itu pada asalnya dijadualkan pada 12 Julai, tetapi ditangguhkan menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

PH membubarkan DUN Negeri Sembilan dengan perkenan diraja pada 5 Jun, walaupun pilihan raya negeri tidak sepatutnya diadakan sehingga November 2028. Ini berlaku selepas 14 ADUN daripada parti teras BN iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Kesemua 14 ADUN itu kemudian membatalkan keputusan penarikan sokongan selepas menerima arahan daripada kepimpinan pusat parti.

Mengenai sama ada pertembungan menentang BN di Johor dan Negeri Sembilan akan menjejaskan hubungan mereka di peringkat persekutuan, Encik Loke berkata "adalah tidak benar untuk mengatakan tiada kesan langsung, tetapi kami harus bersikap profesional".

"Kami masih menghadiri mesyuarat seperti biasa. Saya baru sahaja selesai mesyuarat (di mana) saya duduk di tengah-tengah antara presiden dan timbalan presiden UMNO. Jadi kami cuba bersikap profesional untuk memastikan kerajaan kekal utuh," katanya.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi merupakan timbalan perdana menteri manakala Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan adalah menteri luar Malaysia.

Encik Ahmad Zahid juga berikrar akan terus menyokong kerajaan perpaduan sehingga tamat penggalnya, tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri, jelas Encik Loke.

"Sama ada kami akan menghadapi pilihan raya umum akan datang sebagai blok perpaduan atau sebagai gabungan berasingan, sudah tentu, itu adalah sesuatu yang akan diputuskan oleh gabungan masing-masing apabila parlimen dibubarkan nanti," tambah Encik Loke.

Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) Malaysia mesti diadakan menjelang Februari 2028, namun para pemerhati menyatakan keputusan cemerlang BN dalam pilihan raya negeri boleh memberi tekanan kepada Encik Anwar untuk mengadakan PRU lebih awal.

PH SASAR 20 KERUSI DI NEGERI SEMBILAN

PH menyasarkan untuk memenangi 20 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sembilan, kata Encik Loke, yang berasal dari Seremban di negeri berkenaan. Ini merupakan "senario terbaik" untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah, kira-kira sejam perjalanan dari Seremban, dan menyatakan beliau telah membina "hubungan yang sangat kukuh" dengan penduduk setempat sejak 2013.

Beliau menjangkakan "persaingan yang sangat sengit" daripada BN, terutamanya daripada MCA.

"Kerusi saya merupakan kawasan yang sangat bercampur-campur, jadi saya perlu meraih sokongan daripada kedua-dua pengundi Cina... serta pengundi Muslim kita," katanya.

Encik Loke mengakui prestasi DAP di Johor telah mencetuskan kebimbangan, namun menegaskan ia adalah sebahagian daripada pasang surut dunia politik.

"Kami menghadapi beberapa kegagalan, tetapi ia bukan penolakan mutlak," kata Encik Loke.

"Jika anda melihat kepada jumlah undi kami, ia meningkat berbanding pilihan raya lalu. Walaupun tidak berada pada peratusan yang sama seperti BN, ia tetap satu peningkatan."

Menurut analisis bekas pemimpin DAP Ong Kian Ming, jumlah undi keseluruhan DAP dalam PRN 2026 meningkat sebanyak 6.2 peratusan mata berbanding PRN 2022.

Bagaimanapun, Encik Ong berkata jumlah undi DAP merosot sebanyak 10.4 peratusan mata berbanding Pilihan Raya Umum 2022. Beliau berkata ini sepatutnya menjadi kerangka rujukan PH, terutama jika mahu mengekalkan 15 kerusi parlimen bagi Johor yang dimenangi dalam PRU15.

Jumlah undi BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini meningkat 16.5 peratusan mata berbanding PRN 2022, dan sebanyak 29.6 peratusan mata berbanding PRU15, menurut analisis Encik Ong.

Encik Loke memuji BN kerana menjalankan kempen yang "sangat teratur" dengan "mesej yang sangat jelas", yang memaparkan poster penyandang Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi "di mana-mana sahaja di seluruh negeri".

Di Negeri Sembilan, dengan penyandang Menteri Besar Aminuddin daripada PH, gabungan itu akan cuba menjalankan "kempen yang positif, berbincang tentang apa yang patut kami lakukan, apa yang boleh kami lakukan, apa yang telah kami capai dan apa yang boleh kami lakukan untuk rakyat", kata Encik Loke.

"Saya sendiri akan memantau kempen dan naratif tersebut," katanya.

"Saya mahu menjalankan... kempen yang membawa harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik."

Beliau menyedari pihak lawan mungkin cuba meletakkan PH dalam kedudukan defensif dan menggambarkan DAP sebagai ancaman kepada kepentingan orang Melayu-Islam serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Kami menjadi beg penumbuk dan momokan pihak lawan," katanya.

"Strategi dan helah ini, secara jujurnya, tidak akan menjejaskan DAP di kawasan pilihan raya kami. Ia akan menjejaskan parti komponen kami (dalam PH yang bertanding di kawasan majoriti Melayu)... Kami bertanding terutamanya di kawasan majoriti bukan Melayu," katanya.

Pilihan raya negeri ini berlangsung berlatarbelakangkan kemelut diraja antara dua individu yang menuntut takhta Negeri Sembilan - Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang kekal sebagai pemerintah yang diiktiraf oleh kerajaan persekutuan dan pentadbiran negeri, dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar, yang diisytiharkan sebagai pengganti Tuanku Muhriz oleh empat Undang yang mempunyai kuasa perlembagaan untuk memilih pemerintah.

Encik Loke berkata DAP tidak mahu melibatkan atau mengheret institusi diraja ke dalam kancah politik.

"Krisis diraja di Negeri Sembilan mesti diselesaikan dalam institusi diraja itu sendiri berdasarkan adat dan undang-undang institusi berkenaan," katanya.

Mengenai apa maksud keputusan pilihan raya negeri terhadap DAP menjelang PRU akan datang, Encik Loke berkata sejarah membuktikan dinamika adalah berbeza dalam kedua-dua jenis pilihan raya ini.

Dalam PRN Melaka 2021, kerusi DAP berkurangan daripada lapan kepada empat, manakala ia hanya memenangi dua kerusi dalam PRN Sarawak yang diadakan pada tahun yang sama, katanya.

"Sebelum pilihan raya umum lalu (pada November 2022), kami juga menerima tamparan hebat, bukan? ... Jadi ramai orang menganggap DAP sudah berakhir," katanya.

"Tetapi semasa PRU, di Sarawak, kami memenangi semula lima kerusi parlimen. Bagaimana anda mahu menjelaskan perkara itu? Jadi ia sentiasa mempunyai dinamika yang berbeza dalam setiap pilihan raya," katanya.

Walau apa pun, beliau mengakui parti itu perlu mendengar keluhan pengundi dan menyesuaikan dasar serta pendekatan mereka.

DAP mesti berdepan dengan isu peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu di Johor dan mengiktirafnya sebagai isyarat daripada pengundi tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap PH, katanya.

"Itulah keindahan demokrasi. Itulah keindahan pilihan raya, di mana anda menghantar mesej tertentu kepada kerajaan," katanya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita