Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

DAP akur, patuh dengan kedudukan Islam dan hak orang Melayu dalam perlembagaan, kata Timbalan PM M'sia Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
DAP akur, patuh dengan kedudukan Islam dan hak orang Melayu dalam perlembagaan, kata Timbalan PM M'sia Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Program Himpunan Rakyat di Dewan Terbuka Kuala Rompin pada 6 Dis 2022. (Gambar: Bernama)

ROMPIN: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP memberi jaminan untuk 'akur dan patuh' dengan empat Perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk berkaitan agama Islam dan keistimewaan Orang Melayu.

Presiden UMNO itu berkata dua perkara lagi adalah mengenai kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

Beliau berkata jaminan itu diberikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook semasa pertemuan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Soalan pertama saya sebagai Pengerusi BN adalah bagaimana kedudukan Islam, hak Orang Melayu, Bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

“Bila soalan itu diajukan, Setiausaha Agung DAP kata kami DAP baru, kepimpinan baru dan kami akur dengan sebarang Perkara dalam Perlembagaan termasuk empat Perkara itu," katanya ketika berucap pada Program Himpunan Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Rompin pada Selasa (6 Dis).

Encik Ahmad Zahid juga berkata akar umbi tidak perlu bimbang kerana sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, beliau tidak pernah menjual parti sebaliknya berusaha memastikan parti kekal relevan supaya dapat terus memperjuang hak serta keperluan rakyat.

"Saya seru pada diri sendiri dan semua peringkat parti... ini adalah ujian kepada kita. Kita mesti istiqamah. Jangan ada lagi perbezaan pendapat antara kita hingga bawa perpecahan.

"Rapatkan saf kepimpinan dan wujudkan penyatuan supaya UMNO dan BN terus relevan bukan hanya dalam Kerajaan Perpaduan tetapi sehingga masa depan. Kita berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat bersama-sama rakan dalam kerajaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat BN di negeri atau Parlimen agar berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa dalam tempoh lima tahun dan bukan bersifat 'bermusim.'

Encik Ahmad Zahid juga meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman memilih calon BN iaitu Encik Mohd Johari Hussain sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Pahang dan di peringkat Persekutuan.
Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan