Skip to main content

Dunia

Dana RM90 juta 1DMB tidak dimasukkan ke dalam akaun PAS

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang wang berjumlah RM90 juta (S$30 juta) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi PAS setakat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dana RM90 juta 1DMB tidak dimasukkan ke dalam akaun PAS

Papan tanda 1MDB di Kuala Lumpur. (Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)

Diterbitkan : 25 Feb 2019 08:22AM Dikemas Kini : 25 Feb 2019 08:25AM

KUALA TERENGGANU: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang wang berjumlah RM90 juta (S$30 juta) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi PAS setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya sejak awal bulan ini mendapati bahawa tiada bukti urus niaga yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

"SPRM setakat ini memang mendapati tidak berlaku kemasukan RM90 juta (S$30 juta) yang dikatakan daripada 1MDB ke dalam akaun PAS," katanya semasa satu sidang media selepas menyaksikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) 24 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pada Ahad (24 Feb).

Encik Mohd Shukri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pertanyaan wartawan yang ingin mengetahui berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil serta kesediaan SPRM untuk menutup kes tersebut.

Sebelum ini, beberapa individu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan. Mereka adalah Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dan mantan Timbalan Presiden PAS, Dr Nasharudin Mat Isa.

Mantan Pengerusi Bersih, S Ambiga, dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa, juga sudah memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berharap semua pihak dapat menerima pengesahan SPRM itu sebagai fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus dan profesional.

“PAS juga menyeru agar isu itu dihentikan dengan segera dan PAS menangguhkan haknya untuk mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya terhadap PAS,” katanya dalam kenyataan media semalam (24 Feb).

Pengesahan itu, kata Encik Takiyuddin, membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh pelbagai pihak, sama ada dari luar mahupun dalam negeri, adalah satu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat berbentuk ‘mala fide’ bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti PAS, terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita