Skip to main content

Dunia

Dana bantu Najib bayar denda RM50 juta raih sokongan, sindiran; ada yang sumbang hanya RM0.01

Dana Solidariti Najib Razak sudah mengumpulkan lebih RM1 juta dalam tempoh sekitar sehari, namun kempen itu turut mengundang kritikan dengan sesetengah netizen membuat sumbangan hanya RM0.01 berserta mesej sindiran.

Anggaran Waktu Membaca:
Dana bantu Najib bayar denda RM50 juta raih sokongan, sindiran; ada yang sumbang hanya RM0.01

Gambar komposit mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan tangkap layar yang dikongsi seorang netizen menunjukkan sumbangan RM0.01 kepada Dana Solidariti Najib Razak. (Gambar: CNA/Fadza Ishak, Threads/@draminyusof)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 02:50PM
  • UMNO melancarkan Dana Solidariti Najib Razak pada 18 Sep bagi membantu bekas perdana menteri itu membayar denda RM50 juta selepas pengampunan bersyarat diperkenankan.
  • Dana itu melepasi RM1 juta dalam kira-kira sehari, dengan penyokong termasuk dari luar negara menyumbang, namun pengkritik mengejek melalui derma kecil dan sindiran dalam talian.
  • Peguam berkata kutipan itu tidak menyalahi undang-undang, tetapi status pengurusan dana dan langkah jika sasaran RM50 juta gagal dicapai masih belum jelas.
  • Isu ini turut dilihat sebagai ujian sokongan politik UMNO, sementara denda perlu dibayar kepada mahkamah sebelum Najib boleh dipindahkan ke tahanan rumah.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Usaha mengumpulkan dana bagi membantu mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak membayar denda RM50 juta (S$15.6 juta) menerima sumbangan daripada para penyokongnya, namun pada masa sama mengundang kritikan dan sindiran dalam talian.

Dana Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO Jumaat (18 Sep) lalu berjaya mengumpulkan lebih RM1 juta (S$312,650) dalam tempoh sekitar sehari.

Mediacorp sudah menghubungi UMNO bagi mendapatkan jumlah terkini dana yang dikumpulkan.

Para penyokong Najib berkongsi tangkap layar sumbangan mereka berserta mesej sokongan kepada mantan perdana menteri berusia 73 tahun itu, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Namun, pengkritik kempen tersebut bertindak membuat sumbangan serendah RM0.01 (S$0.003) sambil meletakkan rujukan urus niaga yang menyindir Najib.

Tangkap layar yang tersebar di media sosial menunjukkan beberapa penderma menggunakan rujukan seperti "Bapak Sakau Negara".

Sesetengah netizen turut mempersoalkan mengapa rakyat biasa perlu menyumbang bagi membantu Najib membayar dendanya, manakala yang lain secara berseloroh meminta orang ramai menderma kepada mereka sebaliknya.

Kempen mengumpulkan dana itu dilancarkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib pada Jumaat (18 Sep) lalu.

Ia membolehkan Najib menjalani baki hukumannya menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta (S$15.7 juta) serta syarat-syarat lain.

Peguam Negara Malaysia Mohd Dusuki Mokhtar berkata pada Isnin (21 Sep) bahawa Najib masih belum melunaskan denda tersebut.

Pasukan guaman Najib pula sebelum ini menyatakan keupayaannya untuk membuat pembayaran itu bukan sesuatu yang berada sepenuhnya dalam kawalannya kerana sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan kerajaan.

STATUS DANA JIKA SASARAN TIDAK DICAPAI BELUM JELAS

Peguam Malaysia Andrew Khoo memberitahu Mediacorp bahawa usaha mengumpulkan dana tersebut tidak menyalahi undang-undang dan tiada undang-undang khusus di Malaysia yang mengawal kegiatan mengumpulkan dana seperti itu.

Menurutnya, sebarang dakwaan mengenai penyelewengan dalam kutipan atau penggunaan dana boleh disiasat di bawah undang-undang jenayah dan undang-undang berkaitan rasuah.

Namun, belum jelas bagaimana sumbangan itu kini diuruskan UMNO.

Tiada butiran dilaporkan mengenai apa yang akan dilakukan terhadap wang yang dikumpulkan sekiranya jumlahnya tidak mencapai RM50 juta (S$15.7 juta).

Mediacorp sudah menghubungi UMNO bagi mendapatkan komen.
Related article image
Tangkap layar yang tersebar di media sosial menunjukkan sumbangan RM0.01 kepada Dana Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO. Beberapa penderma turut memasukkan rujukan transaksi yang menyindir Najib. (Gambar: Facebook/IronPen)
PENYOKONG SUMBANG RIBUAN RINGGIT

Di sebalik sumbangan RM0.01 (S$0.003) daripada pengkritik, sesetengah penyokong Najib berkongsi di media sosial bahawa mereka menyumbang jumlah yang jauh lebih besar.

Seorang pengguna Threads berkata beliau menyumbang RM4,000 (S$1,251) selepas bekerja lebih masa.

Isteri Najib, Rosmah Mansor, berkata pada Ahad bahawa beliau tersentuh dengan usaha mengumpulkan RM50 juta (S$15.7 juta) itu.

Menurut Cik Rosmah, sumbangan bukan sahaja diterima dari Malaysia, malah dari negara lain termasuk Brunei, Itali, Singapura dan Kanada.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa Najib, pula berkata bapanya tersentuh dengan usaha tersebut dan tidak menyangka begitu ramai yang sanggup menyumbang.

Cik Nooryana, yang juga Ketua Penerangan Puteri UMNO, berkata denda itu perlu dibayar terlebih dahulu kepada mahkamah sebelum resit pembayaran diserahkan kepada pihak penjara.

Pihak penjara kemudian boleh mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan tahanan di rumah.

Dana tersebut mengumpulkan RM634,000 (S$198,224) dalam tempoh tiga jam pertama dan melepasi RM1 juta (S$312,650) pada pukul 9.30 pagi Sabtu (19 Sep).

Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ramai penyumbang memberikan RM10 (S$3.13) dan RM50 (S$15.63) serta menggesa para penyokong supaya terus menyumbang.

Najib bagaimanapun berkata menerusi pasukan guamannya bahawa beliau tidak mahu parti, anggota dan penyokongnya atau orang ramai berasa terbeban atau diwajibkan untuk membantunya.

USAHA GERAKKAN SOKONGAN POLITIK

Usaha mengumpulkan dana itu turut menerima kritikan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan, yang merupakan rakan UMNO dalam kerajaan persekutuan.

Ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke pada Sabtu (19 Sep) menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan Malaysia sebagai membantah pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Penganalisis politik pula melihat usaha mengumpulkan dana itu sebagai satu bentuk menggerakkan sokongan politik dan usaha menunjukkan bahawa UMNO masih mempunyai jentera akar umbi yang kukuh.

Adib Zalkapli dari Viewfinder Global Affairs berkata kegagalan mencapai matlamat itu boleh menimbulkan persoalan mengenai kekuatan jentera akar umbi UMNO dan kedudukannya dalam rundingan kerjasama dengan parti-parti lain menjelang pilihan raya negeri.

Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania James Chin pula membandingkan usaha UMNO itu dengan amalan PAS mengumpulkan sumbangan daripada anggota dan penyokong akar umbinya menerusi tabung "tin Milo".

Beliau berkata UMNO mungkin cuba mencontohi keupayaan PAS menggerakkan para penyokongnya menerusi kaedah tersebut.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes penyelewengan RM42 juta (S$13.1 juta) dana SRC International, bekas anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli kewangan Jho Low, yang kini menjadi orang buruan, merupakan tokoh utama dalam skandal 1MDB.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita