Dana Arab, Islam biaya AS$72 juta bangunkan Tebing Barat, Gaza dan kem pelarian
Bangunan dan jalan di kem pelarian Jenin semasa operasi ketenteraan Israel masih berlangsung, di Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel pada 19 November 2025. (Gambar: Reuters/Mohamad Torokman)
Pengumuman itu dibuat semasa majlis menandatangani perjanjian pelaksanaan projek berkenaan yang disaksikan beliau di pejabatnya di Ramallah, lapor Anadolu Ajansi.
Projek-projek itu merangkumi sektor-sektor yang paling memerlukan termasuk pendidikan, tadbir urus tempatan, latihan vokasional, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan masyarakat dan kawasan luar bandar.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Dana Al-Aqsa yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Islam menyediakan AS$32.7 juta (S$42.6 juta), manakala Dana Arab bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial menyumbang AS$38.5 juta (S$50.2 juta).
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa projek-projek berkenaan “merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program nasional untuk pembangunan dan pemodenan yang dilaksanakan melalui 10 inisiatif penting merentasi sektor utama.”
Usaha turut dipertingkatkan bagi mengukuhkan ketahanan rakyat Palestin “walaupun berdepan pelbagai keadaan dan halangan”, menurut kenyataan itu.
Sumbangan Dana Arab dan Islam ini diumumkan ketika Penguasa Palestin berdepan krisis kewangan serius.
Encik Mohammad Mustafa pada Khamis lalu menegaskan krisis itu berpunca secara langsung daripada tindakan Israel menyekat hasil cukai Palestin.
Kenyataan itu turut menggesa negara-negara penderma dan rakan antarabangsa untuk menekan Israel agar melepaskan dana yang ditahan serta menyediakan sokongan belanjawan segera selama tempoh enam bulan.
Sejak 2019, Israel membuat potongan ke atas hasil cukai berkenaan atas pelbagai alasan dan dilaporkan menghentikan sepenuhnya pemindahan dana itu selama kira-kira enam bulan, menyebabkan jumlah tertunggak mencecah hampir AS$4 bilion (S$5.2 bilion) dan menjerumuskan Penguasa Palestin ke dalam krisis kewangan.
Penasihat Perdana Menteri bagi Dana Arab dan Islam, Nasser Qatami berkata peranan tabung-tabung itu tidak terbatas kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam mengukuhkan daya tahan rakyat Palestin.
Beliau menyatakan bahawa sepanjang 23 tahun lalu, dana tersebut menyokong ribuan projek pembangunan di Tebing Barat serta di kem pelarian Palestin di Lubnan.
Terdapat lebih 493,000 pelarian Palestin di Lubnan yang berdepan hidup sukar di kem-kem yang ditadbir oleh puak Palestin berdasarkan pengaturan tidak rasmi sejak Perjanjian Kaherah 1969.
Lebih separuh daripada mereka tinggal di 12 kem yang diiktiraf secara rasmi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Tengah (UNRWA).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.