Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa dan pasport palsu ditahan
Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa yang aktif sejak kira-kira dua tahun lepas, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ampang, Selangor, kelmarin (12 Feb).
Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)
IPOH: Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa yang aktif sejak kira-kira dua tahun lepas, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ampang, Selangor, kelmarin (12 Feb).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata lelaki berumur 44 tahun itu pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan selain membuat pengubahsuaian dokumen buku nikah dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP).
Beliau berkata lelaki terbabit akan menerima tempahan melalui kenalannya dari Indonesia atau yang berada di Malaysia atau individu dibawa kenalannya sahaja.
“Pasport yang sudah tamat tempoh atau milik orang lain diubah suai mengikut kehendak pelanggan. Suspek juga menyeludup masuk pasport palsu dari Indonesia untuk tujuan pasaran di Malaysia,” katanya.
Encik Mustafar berkata dalam serbuan bermula 10.00 malam hingga tengah malam, pihaknya menemukan antaranya 70 koyakan butiran utama penama pasport Indonesia, 32 pasport Indonesia, enam pasport Bangladesh serta dua pasport Pakistan, kesemuanya disyaki diubah suai.
HARGA PASPORT PALSU SEKITAR S$100
Sejumlah cop keselamatan negara Indonesia disyaki palsu (cop keluar, cop masuk, cop kedutaan Indonesia); cop keselamatan Imigresen Malaysia iaitu cop masuk dan keluar Malaysia disyaki palsu serta cop keselamatan Singapura disyaki palsu juga dirampas, katanya.
Beliau berkata suspek mendapatkan bekalan pasport dan buku nikah dari Madura, Indonesia yang diseludup masuk secara berperingkat iaitu tiga hingga lima naskah bagi setiap perjalanan yang dibantu rakan senegaranya.
Menurutnya, satu pasport kosong yang dipalsukan dijual pada harga RM50 (S$17), manakala selepas diproses sekitar RM200 (S$67) hingga RM300 (S$100) di pasaran Malaysia.
“Suspek juga menerima tempahan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dijual dengan harga RM50 (S$17) hingga RM150 (S$50) sekeping.
“Suspek mendapat bekalan pelekat PLKS daripada satu sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM30 (S$10) sekeping,” katanya sambil menambah buku nikah kosong palsu dijual RM60 (S$20) manakala yang diproses mencecah sehingga RM100 (S$34).
TIDAK MENGGUNAKAN TEKNOLOGI CANGGIH HASILKAN PASPORT PALSU
Encik Mustafar berkata dalang utama sindiket terbabit melakukan pengubahsuaian dokumen secara manual atau tradisional tanpa menggunakan peralatan canggih.
“Suspek menjadikan rumah sewanya sebagai pusat operasi dan pelanggan boleh terus ke rumahnya bagi membuat tempahan. Tempoh untuk menyiapkan satu dokumen adalah sekitar empat hingga 24 jam bergantung kepada stok bekalan,” katanya.
Anggaran jumlah keuntungan yang diperoleh suspek sekitar RM3,000 (S$1,006) hingga RM5,000 (S$1,677) sebulan manakala purata keuntungan sepanjang tempoh menjalankan kegiatan itu hampir RM80,000 (S$27,000), katanya.
“Kita percaya akan ada lagi tangkapan membabitkan individu yang membantu dalang berkenaan,” katanya.
Encik Mustafar menegaskan pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan seumpama itu yang boleh menggugat keselamatan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.