Dalang serangan Pantai Bondi didakwa atas 59 kesalahan, termasuk tindakan pengganas
Orang ramai dan pekerja kecemasan berkumpul di tengah-tengah insiden tembakan di Pantai Bondi di Sydney pada 14 Disember 2025. (Gambar: AP/Mark Baker)
Pasangan bapa dan anak yang dipercayai dalang kejadian itu melepaskan tembakan semasa satu sambutan perayaan Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney pada Ahad, dalam satu serangan yang menggemparkan seluruh Australia dan meningkatkan keprihatinan terhadap peningkatan sentimen anti Yahudi dan pelampau ganas.
Sajid Akram, 50 tahun, ditembak mati oleh polis di tempat kejadian, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun, dinamakan oleh media tempatan sebagai Naveed, mula sedarkan diri daripada koma pada Rabu selepas ditembak oleh polis.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese sebelum ini berkata dalam satu temu bual di podcast bahawa Naveed akan didakwa secara rasmi "dalam masa beberapa jam".
Para penyiasat dijangkakan akan menyoal siasat Naveed sebaik sahaja kesan pengambilan ubat ubatan semakin berkurangan dan dengan kehadiran penasihat undang-undang, kata Pesuruhajaya Polis New South Wales, Mal Lanyon.
Dia masih dirawat di hospital Sydney di bawah kawalan ketat oleh polis.
Lelaki-lelaki yang dituduh melancarkan serangan di Pantai Bondi pada Ahad mengunjungi selatan Filipina, sebuah kawasan yang lama dibelenggu oleh kumpulan ISIS, beberapa minggu sebelum melancarkan serangan yang menurut polis Australia, seolah-olah diilhamkan oleh kumpulan ISIS.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata di satu acara sambutan Hanukkah di Rumah Putih pada lewat Selasa bahawa beliau memikirkan tentang mangsa-mangsa "serangan pengganas anti Yahudi yang mengerikan" itu.
"Kami turut sama berkabung demi memperingati semua yang terbunuh dan kami doakan semoga mangsa yang cedera cepat sembuh," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.