Skip to main content

Dunia

Dalam pilihan raya kecil, menang kalah tidak penting: Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak bimbang dengan kerjasama UMNO-PAS, yang menjadi antara punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu (2 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Mar 2019 10:47PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 10:56PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak bimbang dengan kerjasama UMNO-PAS, yang menjadi antara punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu (2 Mac).

Dr Mahathir berkata beliau yakin gabungan sebegitu hanya akan berlaku pada PRK yang kemenangannya tidak membawa makna besar.

"Dalam pilihan raya kecil, menang kalah tidak penting tetapi dalam pilihan raya umum lain, mereka tidak boleh bekerjasama.

"Kalau mereka bekerjasama, PAS tidak akan mendapat apa-apa,” kata Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH, semasa satu sidang media hari ini (3 Mac).

BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih dalam PRK semalam (2 Mac), yang menyaksikan calonnya, Zakaria Hanafi, menewaskan calon PH Mohammad Aiman Zanali dan dua lagi calon dengan majoriti sekitar 2,000 undi.

Mengakui penggunaan isu agama ketika kempen juga antara punca kekalahan PH, Dr Mahathir berkata pihaknya akan segera melakukan 'post-mortem' bagi mengenal pasti punca sebenar gabungan itu gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Beliau berkata perbezaan majoriti yang diraih juga menunjukkan pengundi Semenyih sudah berubah fikiran akibat persepsi negatif dan provokasi agama tidak perlu yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.

"Ada sesetengah pihak yang melakukan provokasi tidak perlu seperti melukis kartun Nabi Muhammad sedangkan perkara sebegini tidak menyumbang ke arah kebaikan negara," katanya.

Berhubung kegagalan menunaikan janji manifesto yang juga dilihat antara faktor menyumbang kekalahan PH itu, Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan masa yang lebih panjang untuk merealisasikan janji mereka.

Perdana Menteri itu berkata ketika pihaknya berusaha menunaikan janji pilihan raya, kerajaan juga pada masa yang sama perlu membayar hutang lebih RM1 trilion (S$333 juta) yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menjadikan hutang projek Laluan Rel Pantai Timur sebagai contoh, Dr Mahathir berkata kerajaan terpaksa membayar faedah RM200 juta (S$66.5 juta) setiap enam bulan bagi pinjaman RM55 bilion (S$18.3 bilion) yang dibuat kerajaan terdahulu untuk melaksanakan projek tersebut.

"Bermakna duit yang kita ada yang sepatutnya diguna untuk membantu rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan kepada kita," katanya.

Dr Mahathir juga mempertahankan dakwaan PH terhadap PAS kerana yakin dengan kebenarannya, termasuk janji tidak menyokong UMNO di Semenyih serta pembayaran RM1.4 juta (S$465,700) kepada penyunting Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata pihaknya mempunyai bukti jelas berkenaan pembayaran tersebut dan perkara itu tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menyalahkan individu (Rameli Musa) yang dikaitkan dengan pembayaran wang oleh Encik Abdul Hadi kepada Rewcastle-Brown, namun "marah dengan cara PAS yang berbohong".

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita