Skip to main content

Dunia

Dakwaan suntikan vaksin lepasi tarikh luput tidak benar, kata Khairy Jamaluddin

Siasatan awal mendapati dakwaan mengatakan terdapat suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan sudah melepasi tarikh luput adalah tidak benar, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia Khairy Jamaluddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Dakwaan suntikan vaksin lepasi tarikh luput tidak benar, kata Khairy Jamaluddin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 07:27AM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 07:29AM

KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati dakwaan mengatakan terdapat suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan sudah melepasi tarikh luput adalah tidak benar, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia Khairy Jamaluddin.

Encik Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia menjelaskan tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera pada aplikasi MySejahtera individu terbabit sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin bagi dos pertama yang sudah diterima.

“Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara tersebut berlaku dan tarikh luput vaksin sebenar akan dikemas kini di dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (12 Jul).

Mengulas mengenai penjualan slot janji temu vaksin, Encik Khairy berkata sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan sudah ditubuhkan di bawah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dianggotai oleh wakil CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan 'Standby List' telah dikuatkuasakan di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin," katanya.

Encik Khairy berkata keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin.

Menurutnya, CITF sudah bekerjasama dengan PDRM untuk menyiasat perkara itu seawal bulan lepas dan sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak polis.

Menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) jika terdapat individu positif hadir ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin, Encik Khairy berkata beberapa langkah segera diambil termasuk aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit selain melaksanakan ujian pengesanan COVID-19 ke atas para petugas.

"Saya juga telah mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai yang sudah melakukan ujian pengesanan COVID-19 bertanggungjawab dan tidak hadir ke PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita