Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dakwaan ayam segar tidak disembelih ikut syariat di Perak tidak benar

Anggaran Waktu Membaca:

IPOH: Dakwaan bahawa sebuah pasar raya di Kuala Kangsar, Perak menjual ayam segar yang tidak disembelih mengikut syariat, adalah tidak benar.

Demikian menurut laporan Astro AWANI. 

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim yang berkata, pihaknya terus menjalankan siasatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebaik mendapat maklumat mengenai perkara itu.

“Kita turun ke padang bersama KPDN. Memang tidak didapati menyalahi syariat. Bahkan lebih melucukan apabila KPDN dapat kesan pelapor itu.

"KPDN tanya dia, ayam itu buat apa? Sudah makan, katanya. Maknanya, dia pun tak pasti,” katanya ketika ditemui pada Khamis malam (30 Mac). 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang wanita menerusi Facebook terdapat kesan tebuk pada leher ayam dibelinya, sekali gus menyimpulkan bahan mentah itu sebagai tidak halal.

Wanita berkenaan turut memuat naik gambar ayam yang dibelinya di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar, sehingga ia tular di media sosial sejak Rabu malam (29 Mac), menurut Astro AWANI. 

Encik Harith berkata, siasatan mendapati, penyembelihan dijalankan mengikut syariat dan ketiga-tiga syarikat pembekal ayam di pasar raya itu memang mengikut piawaian dan mempunyai sijil halal.

“Jadi kita mengharap, akan datang, kalau tak pasti janganlah kita buat (tularkan), rujuk kepada pihak berkuasa (terlebih dahulu),” Astro AWANI memetik kata-katanya.

Dalam masa sama, katanya, tiada laporan seumpama itu di tempat lain dan kejadian yang tular itu tidak menjejaskan jualan ayam di pasar raya berkenaan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan