Skip to main content

Dunia

Dakwaan abu Gunung Sinabung bawa virus, jejas mutu udara M'sia tidak benar

Letusan Gunung Sinabung di Sumatera, Indonesia setakat ini tidak menjejas kualiti udara atau membawa sebarang virus ke Malaysia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Anggaran Waktu Membaca:
Dakwaan abu Gunung Sinabung bawa virus, jejas mutu udara M'sia tidak benar

Debu panas Gunung Sinabung bergerak sejauh hampir 5 kilometer ke arah selatan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 Feb 2018 01:59PM Dikemas Kini : 22 Feb 2018 02:00PM

JAKARTA: Letusan Gunung Sinabung di Sumatera, Indonesia setakat ini tidak menjejas kualiti udara atau membawa sebarang virus ke Malaysia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa memantau data kualiti udara berikutan tersebar bebarapa dakwaan dan khabar angin bahawa Gunung Sinabung, yang meletus sejak 19 Februari lalu menjejas kualiti udara di Malaysia serta membawa virus flu ke negara itu.

Kementerian sentiasa memantau data kualiti udara melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak gunung itu meletus dan setakat ini, tahap kualiti udara berada pada julat dari baik ke sederhana pada kebanyakan masa.

"Oleh itu, tiada apa langsung yang boleh mengesahkan khabar angin dan dakwaan bahawa letusan Gunung Sinabung menyebabkan kualiti udara di negara ini merosot.

"Dakwaan bahawa abu gunung berapi menyebabkan tersebarnya flu di sini adalah berniat jahat dan tidak berasas sama sekali," kata Datuk Wan Junaidi dalam kenyataan hari ini (22 Feb).

Beliau berkata tidak mungkin abu gunung berapi itu sampai ke Malaysia kerana negara tersebut masih mengalami monsun timur laut, dengan angin timur laut sentiasa bertiup ke arah Sumatera.

Beliau berkata MET membuat analisis menggunakan Hybrid Single Particle Lagrangian Integrated Trajectory Model (HYSPLIT), suatu model komputer yang digunakan bagi mengira trajektori parsel dan penyebaran udara atau mendapan bahan cemar atmosfera.

Pemodelan HYSPLIT menunjukkan abu daripada letusan gunung berapi itu akan bergerak ke arah timur laut dari Gunung Sinabung di Sumatera.

Sementara itu, Datuk Wan Junaidi berkata Kementerian Kesihatan mengesahkan flu berkenaan berpunca daripada virus influenza dan virus itu tidak boleh bertahan dalam lahar dan abu yang panas.

"Keadaan cuaca tidak menentu di Malaysia sekarang menyebabkan ramai rakyat negara kita jatuh sakit dan keadaan ini wujud sebelum gunung berapi itu meletus lagi.

"Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana kita tidak akan terjejas dalam sebarang cara, bentuk atau keadaan susulan letusan gunung berapi itu termasuklah di seberang Selat Melaka," kata beliau.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita