Skip to main content

Dunia

Daim Zainuddin dilepaskan, dibebaskan daripada kes gagal isytihar harta

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Rabu (20 Nov), daripada satu kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding kerana Daim, 86, meninggal dunia pada 13 November lalu.

Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya, lapor Sinar Harian.

Pendakwaan menghujahkan, permohonan dibuat kerana tertuduh sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.

Daim, 86 tahun, dan isterinya, Toh Puan Na'imah Khalid, 67 tahun, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000 (S$300,000), jika sabit kesalahan.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita