Dai' Syed bebas dua tuduhan jenayah seksual

(Gambar: BERNAMA)
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini (31 Mei) melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.
Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 27 tahun, daripada kedua-dua pertuduhan itu.
“Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan sebanyak RM25,000 (S$7,818) dikembalikan,” katanya.
Ketika ditemui wartawan selepas prosiding, Syed Shah Iqmal berkata beliau bersyukur kerana sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa apabila dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan jenayah seksual yang dihadapinya sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah saya tidak mampu untuk berkata-kata, hanya bersyukur kepada Allah SWT atas keputusan mahkamah hari ini. Selepas ini, kalau ada mana-mana pihak yang ingin memberikan tawaran untuk berlakon, saya terima sahaja,” katanya.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita yang ketika itu berumur 22 tahun dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di Petaling Jaya, antara 3.00 pagi hingga 4.00 pagi pada 17 Oktober 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.