Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Daging bukan lagi pilihan untuk buka puasa di M'sia; pembeli kurangkan perbelanjaan

Anggaran Waktu Membaca:
BUTTERWORTH: Nilai mata wang yang semakin mengecil menyebabkan kuasa pembeli juga semakin rendah apabila ramai yang mengambil langkah berjimat cermat dengan membuat pembelian hanya sekadar boleh mengenyangkan perut sahaja.

Perkara itu diakui penjual daging di Malaysia, Mohd Raffi Yusof, 58 tahun, kepada Harian Metro, yang memaklumkan jualan daging tempatan di premisnya merosot sehingga 50 peratus sepanjang 13 hari umat Islam berpuasa.

Katanya, berbanding Ramadan lalu, beliau menyembelih seekor lembu untuk jualan namun kini proses sembelihan terpaksa dilakukan berselang seli memandangkan permintaan berkurangan.

"Ini krisis jualan paling teruk yang saya alami sepanjang 30 tahun berniaga daging ketika Ramadan.

"Boleh dikatakan, setiap Ramadan, daging yang menjadi menu kerap dicari pelanggan tetapi tahun ini jualan agak suram, mungkin ia didorong dengan keadaan ekonomi kita pada masa ini.

"Tambahan pula, anak-anak baru masuk sekolah kemudian puasa pula jadi ramai yang kehabisan wang, maka mereka memilih untuk masak menu mengikut bajet asalkan kenyang," katanya semasa ditemui Harian Metro di gerai jualannya di Pasar Awam Seberang Jaya pada Selasa (4 Apr).

Jelasnya, mujur beliau mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan peniaga kedai makan yang sedikit sebanyak membantu jualannya.

"Bagi pelanggan biasa, kebanyakan memilih untuk membeli daging import yang dijual serendah RM20 (S$6) sekilogram berbanding daging segar tempatan yang dijual pada harga RM42 (S$12.64) sekilogram.

"Ramadan lalu, saya sembelih seekor lembu setiap hari tetapi kini tidak lagi kerana jualan yang sangat perlahan.

"Bukan saya sahaja terkesan tetapi semua peniaga di pasar ini, termasuk peniaga sayur-sayuran turut terkesan apabila jualan merudum sehingga 50 peratus kerana orang kekurangan biaya untuk untuk membeli," tambahnya.

Encik Mohd Raffi berkata, beliau berharap kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu dengan menurunkan harga-harga barangan melalui perbincangan dengan pihak pembekal bagi membantu pengguna serta peniaga kecil.

"Apa yang terjadi (jualan kurang) adalah kerana, bagi pengguna, harga barang terlalu tinggi dan itu menyebabkan kuasa pembeli terhad yang akhirnya memberi kesan kepada golongan peniaga kecil.

"Saya berharap kerajaan juga menetapkan harga kawalan munasabah bagi komoditi daging untuk skim perayaan memandangkan ketika ini, kami sudah terbeban dengan jualan yang kurang," katanya.

Ketika tinjauan sebelum satu jam pasar awam berkenaan menutup operasi, keadaan didapati lengang dengan jualan masih banyak tidak terjual di setiap premis.

Paling terkesan adalah jualan sayur-sayuran apabila peniaga mendakwa tidak pulang modal berikutan pembeli kurang, tidak kira pada hari bekerja mahupun hari minggu, menurut Harian Metro lagi.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan