Dadah fentanyl dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin dikesan di Malaysia
Dadah ‘zombi’ fentanyl yang dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin dikesan sudah berada dalam pasaran di Malaysia.
Ayob Khan (tiga, kanan) berkata hasil kerjasama PDRM dan UKM berjaya menemukan dadah fentanyl hasil sampel analisis air kumbahan di Lembah Subang baru-baru ini. (Gambar: Astro AWANI)
Timbalan Ketua Polis Negara Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penemuan itu hasil sampel analisis air kumbahan di Lembah Subang yang dijalankan baru-baru ini, lapor Astro Awani.
Katanya, dadah baharu itu sebelum ini dikesan di Lembah Klang dan terkini sudah menular ke Johor.
“Kita berjaya jumpa bahan ini hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) hasil usaha sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilancarkan 21 Oktober 2022.
"Kerjasama strategik ini adalah langkah pertama dilaksanakan di peringkat nasional, malah juga di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM, pada Rabu (26 Mac), lapor Astro Awani.
Antara fokus utama inisiatif ini adalah menjalankan penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang termasuk dadah psikoaktif baharu (NPS) selain mengesan aktiviti penghasilan dadah secara haram di dalam negara.
"Ini penting supaya kita tahu sama ada ia dibawa masuk dari luar atau negara bersempadan dengan kita. Trend itu perlu kita lihat untuk siasatan lanjut.
"Misalnya, hasil analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya kesan methamphetamine dan fentanyl, jadi ada kemungkinan wujud makmal memproses dadah di kawasan terbabit.
"Sampel air kencing yang dianalisis turut menemui 57 jenis dadah.
“Bila kita sudah kenal pasti kawasan taman perumahan terbabit, JSJN akan buat risikan sebelum kita mulakan operasi. Sangat membantu sebab sebelum ini kita tidak ada kawasan sasaran,” ujarnya, seperti dipetik Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.