Skip to main content

Dunia

Cuti tambahan Aidilfitri bukan keputusan populis, tidak rugikan sektor swasta, tekan Ahmad Maslan

Anggaran Waktu Membaca:

KUCHING: Langkah pemberian satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri bukan keputusan populis dan kerajaan tidak berniat untuk merugikan sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Ahmad Maslan.

Beliau berkata pengumuman cuti tambahan berkenaan bertujuan membantu dan mewujudkan suasana perayaan kepada rakyat menjelang sambutan Aidilfitri yang dinanti-nantikan. 

“Saya tidak nampak keputusan ini mengganggu sektor swasta dan saya kira suasana perayaan ini dirasai oleh semua masyarakat. 

“Jadi ia tidak menyusahkan dan merugikan (sektor swasta) dan ia sama seperti pemberian Tol RAHMAH percuma selama empat hari yang bertujuan membantu rakyat,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri program bersama pelanggan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kuching pada Khamis (20 Apr). 

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. Ameer Ali Mydin dalam temu bual dalam rancangan televisyen tempatan berkata pengumuman cuti am itu menyebabkan syarikatnya menanggung kerugian RM500,000 (S$150,508). 

Pada Selasa (18 Apr), Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan hari kelepasan am tambahan itu bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman. 

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Aidilfitri akan dibuat pukul 8.00 malam pada Khamis oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita