Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cuti Menteri Malaysia dibekukan susuli banjir; diarah 'turun padang' pantau kawasan terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
Cuti Menteri Malaysia dibekukan susuli banjir; diarah 'turun padang' pantau kawasan terjejas

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 11:04PM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 11:07PM
PUTRAJAYA: Cuti semua Jemaah Menteri dibekukan selepas bencana banjir melanda Malaysia ketika ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan perkara itu berkata semua menteri dan timbalan menteri turut diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

"Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya kepada para wartawan selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Pudina, Presint 17 hari ini (29 Nov).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada cuti anggota Kabinet akan dibekukan ketika bencana banjir melanda negara pada masa ini.

Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 mangsa telah dipindahkan ke 221 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi tadi, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam semalam.

Di Terengganu, seramai 20,911 mangsa daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat pukul 8.00 pagi tadi berbanding 17,762 orang semalam.

Negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir ialah Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, hingga esok.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan