Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Curi van bapa saudara untuk seludup pendatang haram

Anggaran Waktu Membaca:

KUBANG PASU: Dijanjikan upah lumayan, seorang pemandu lori sanggup mencuri van bapa saudaranya untuk membawa 18 pendatang tanpa izin (PATI) dari Bukit Kayu Hitam untuk dihantar ke Butterworth, Pulau Pinang.

Namun percubaan lelaki berusia 35 tahun itu terbantut apabila dia ditahan polis di Kilometer 8.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Bukit Kayu Hitam pada jam 5.30 petang Ahad, seperti dinukil Astro AWANI.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil pemeriksaan menemui 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun di dalam van terbabit.

“Hasil siasatan suspek mengaku menerima upah dari rakannya untuk membawa kesemua PATI itu kepada majikan yang sudah menunggu di Pulau Pinang.

"Manakala soal siasat ke atas PATI, mereka mengaku memasuki negara ini pada 12 Mei lalu jam 11.00 malam melalui kawasan Bukit Tangga dan menunggu dalam hutan sementara diambil suspek," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, menerusi penangkapan kedua, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan ketika membawa tujuh PATI warga Myanmar di Kilometer 30.5 Lebuhraya Utara Selatan pada jam 10.30 pagi Isnin.

Suspek memandu kereta Perodua Alza miliknya dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam untuk menghantar kesemua PATI terbabit ke Kubang Semang, Pulau Pinang.

“Polis percaya kedua-dua suspek warga tempatan ini berperanan sebagai transporter menerima upah daripada tekong darat,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelas Rodzi, hasil siasatan 25 PATI terbabit sudah melunaskan wang sebanyak RM5,000 (S$1,581) setiap seorang kepada ejen yang berada di Myanmar.

Kesemua Pati terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)/ Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan