Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Cukup sudah!' luah penduduk Gaza di tengah serangan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
'Cukup sudah!' luah penduduk Gaza di tengah serangan Israel

(Gambar: Mahmud Hams/AFP)

Diterbitkan : 07 Aug 2022 12:01AM Dikemas Kini : 07 Aug 2022 12:01AM

GAZA: Keadaan di Gaza seakan-akan bandar yang tidak bernyawa dengan jalan rayanya yang kosong, serta semua tingkap ditutup dengan langsir. Penduduknya diuji berulang kali, dengan serangan bertali arus seperti perang yang tiada penghujungnya.

Sebelum Israel melancarkan serangan terhadap militan di Carikan Gaza, wilayah Palestin itu sedang menikmati musim panas, seperti tahun-tahun sebelum ini. 

Pantai-pantai di Gaza yang sebelum ini terlalu tercemar untuk perenang, baru sahaja diisytiharkan selamat untuk digunakan semula, memboleh perenang dan mereka yang ingin bermain papan luncur air untuk merasa nikmat laut. 

Semuanya terhenti secara mendadak pada Jumaat (5 Ogos) apabila Israel melancarkan siri serangan udara di wilayah tersebut, dengan merujuk kepada ancaman daripada kumpulan militan Jihad. 

"Kami sedang hidup aman damai dan tiba-tiba, serangan bom bermula," kata Mohammed Hamami, 40 tahun.

"Cukup! Cukup sudah!" luahnya. "Setiap bulan atau setiap tahun, mesti ada perang." 

Sejak 2007, terdapat empat konflik yang berlaku antara Israel dan kumpulan bersenjata Gaza. 

Kawasan pesisir pantai, iaitu salah satu tempat riadah paling sesak di wilayah itu, berubah kosong pada Sabtu (5 Ogos). 

Penjual di jalanan juga tidak berani tinggalkan rumah mereka sementara kafe pun ditutup. 

Encik Hamami berkata beliau "terkejut" dengan serangan Israel sekali lagi 15 bulan selepas konflik terakhir antara Israel dan kumpulan bersenjata di wilayah itu, yang menjejas kehidupan penduduk Gaza. 

Jet Israel membedil Gaza dua kali pada Julai susuli apa yang didakwa oleh tentera Israel sebagai roket yang dilancarkan dari Gaza. Namun, kali ini tentera sedang bersiap sedia untuk operasi selama seminggu. 

Israel telah  mengepung Gaza sejak 2007, ketika kumpulan Hamas mengambil alih kuasa di wilayah tersebut. 

Penduduk Gaza menjalani malam mengerikan dengan setiap malam muncul rasa takut.

"Serangan terbaru ini membawa kembali perasaan takut, resah dan perasaan yang kami di sini sendirian," kata Dounia Ismail, seorang penduduk Bandar Gazar. 

Bunyi letupan dan serangan udara yang berterusan semalaman membuatnya sukar melelapkan mata, katanya.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi warga Palestin di Gaza untuk menyiapkan beg kecemasan, yang mengandungi beberapa barangan penting, seperti gambar, dokumen, duit dan ubat, sekiranya terpaksa melarikan diri dari rumah mereka," tambah Cik Dounia. 

"Saya berharap peningkatan serangan ini tidak akan menjadi konflik yang lebih besar dan perantaraan Mesir akan mencapai perdamaian," ujarnya.

"Kami bangun untuk membalas mesej, apakah kamu masih hidup? Kami takut."

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa