Skip to main content

Dunia

Cuba agenda 'seterusnya' selepas Iran, kata Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Cuba agenda 'seterusnya' selepas Iran, kata Trump
(Gambar: Reuters)
Diterbitkan : 07 Mar 2026 01:37PM Dikemas Kini : 07 Mar 2026 01:38PM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata pada Jumaat (6 Mac) bahawa Cuba adalah agenda seterusnya selepas Iran, sambil meramalkan bahawa pulau yang diperintah oleh komunis itu, yang kini lumpuh akibat sekatan tenaga Amerika Syarikat, bakal "tumbang tidak lama lagi".

"Mereka sangat terdesak untuk membuat perjanjian," kata Encik Trump kepada CNN dalam satu temu bual telefon, sehari selepas beliau memberi bayangan akan beralih kepada projek yang tidak dinyatakan bagi Cuba selepas perang menentang Iran tamat.

"Kami benar-benar fokus kepada yang ini (Iran) buat masa sekarang. Kami mempunyai banyak masa, tetapi Cuba sudah bersedia - selepas 50 tahun," tambahnya, sambil menjelaskan bahawa Setiausaha Negara, Marco Rubio, akan menjadi orang pentingnya dalam urusan Cuba.

"Beliau sedang melakukan tugas yang hebat, dan tugas seterusnya adalah, kami mahu menguruskan Cuba yang istimewa itu," kata Encik Trump.

Kedua-dua Encik Trump dan Encik Rubio - anak kepada pendatang Cuba - tidak merahsiakan keinginan mereka untuk melakukan pertukaran rejim di Havana, menyusuli kejayaan mereka menggulingkan musuh ketat Washington yang lain di Caribbean, iaitu pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro.

Penyelaras Jabatan Negara Amerika Syarikat bagi hal ehwal Cuba, Rob Allison, sudah bertemu dengan wakil kanan Gereja Katolik di Havana baru-baru ini, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Havana pada Jumaat menerusi platform X, tanpa menyatakan bila pertemuan itu berlaku.

Pihak kedutaan memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan Encik Rob Allison dan kuasa usaha (charge d’affaires) Amerika Syarikat di Cuba, Mike Hammer, bertemu dengan Kardinal Juan de la Claridad dan Bishop Arturo Gonzalez, presiden persidangan uskup kebangsaan.

Keempat-empat mereka membincangkan mengenai bantuan kemanusiaan yang dihantar oleh Washington ke pulau itu "dan keperluan untuk perubahan bagi memperbaiki situasi di Cuba," tambah pihak kedutaan.

TIADA KAPAL TANGKI MINYAK SEJAK JANUARI

Encik Trump berulang kali menyatakan beliau percaya bahawa sudah tepat masanya untuk meruntuhkan rejim Cuba.

Dalam usaha yang dilihat mahu mempercepatkan kejatuhan itu, beliau mengenakan sekatan tenaga terhadap negara Caribbean tersebut.

Cuba tidak menerima sebarang penghantaran minyak sejak 9 Januari, yang memaksa syarikat penerbangan mengurangkan atau menggantung penerbangan ke pulau itu, sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi yang sudah lama berlarutan.

Havana menuduh Encik Trump cuba "mencengkam" ekonomi Cuba.

Pulau tersebut, yang berada di bawah sekatan perdagangan Amerika Syarikat sejak 1962, bertahun-tahun terperangkap dalam krisis teruk yang ditandai dengan gangguan bekalan elektrik yang lama serta kekurangan bahan api, ubat-ubatan, dan makanan.

Washington baru-baru ini melonggarkan sedikit sekatan minyaknya bagi membenarkan syarikat swasta di Cuba mengimport sejumlah kecil minyak.

Pada Rabu, dua pertiga daripada pulau itu mengalami gangguan bekalan elektrik selepas kerosakan di loji janakuasa Antonio Guiteras, loji terbesar di pulau berkenaan. Bekalan elektrik sudah pun dipulihkan kepada kebanyakan isi rumah sejak itu.

Gereja Katolik sebelum ini pernah berkhidmat sebagai orang tengah antara Washington dan pemerintah Cuba.

Pope Francis pernah merundingkan penyambungan semula hubungan diplomatik dengan Washington di bawah Presiden Barack Obama pada 2015, selepas berdekad-dekad renggang akibat Perang Dingin.

Vatican juga pernah merundingkan perjanjian antara Havana dan mantan presiden Amerika Syarikat Joe Biden, di mana Havana membebaskan beratus-ratus banduan politik sebagai pertukaran untuk dikeluarkan daripada senarai negara penaja keganasan Amerika Syarikat.

Encik Trump memasukkan semula Cuba ke dalam senarai keganasan tersebut pada hari pertama beliau kembali berkuasa pada Januari 2025.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita