Skip to main content

Dunia

Cuaca panas mudahkan proses buat batik di Kelantan

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Cuaca panas terik yang melanda Kelantan sejak beberapa minggu lalu memberi peluang kepada pengusaha batik di negeri itu melakukan semua aktiviti berkaitan penghasilan tekstil itu dengan lancar.

Malah menurut pengusaha batik, Mohd Nawawi Mat Rifin, 42 tahun, proses menjemur untuk mengeringkan kain batik menjadi lebih cepat berbanding biasa.

“Sebelum ini proses mengeringkan kain batik di ampaian mengambil masa antara tujuh dan lapan jam, tetapi dalam keadaan cuaca panas luar biasa ini proses menjadi lebih singkat iaitu kira-kira tiga jam sahaja.

“Ini memberi kelebihan kepada pengusaha batik mengeluarkan produk lebih banyak bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Badang pada Rabu (10 Mei).

Menurutnya dalam keadaan cuaca ketika ini pengusaha batik mampu menghasilkan hampir seribu helai kain batik sehari.

Encik Nawawi yang mewarisi perusahaan batik daripada bapanya sejak 30 tahun lepas, berkata kerja-kerja mencanting batik juga berjalan lancar apabila lilin yang digunakan terus kering sempurna selepas dilukis atau dicop.

“Bagi batik cap, tekapan lilin terus kering sempurna selepas kerja-kerja mengecap dilakukan. Cuma untuk memastikan coraknya kemas, kain batik yang telah dicap jangan terus dilipat,” katanya.

Isterinya, Norbaizan Basir, 33 tahun, pula berkata rekaan kaftan dan jubah antara produk yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan ketika ini.

Katanya dalam keadaan cuaca panas, kerja-kerja menghasilkan kain batik untuk dua jenis produk itu dapat dilakukan tanpa sebarang masalah oleh 70 pekerja di premis perniagaannya.

“Cuma sayangnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini permintaan kain batik agak menurun. Itu senario biasa dalam industri ini yang ada naik turun,” katanya.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita