Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cuaca panas melampau di Arab Saudi tingkatkan risiko strok haba bagi jemaah haji

Anggaran Waktu Membaca:
MADINAH: Cuaca panas ekstrem dengan purata suhu melebihi 40 darjah Celcius setiap hari di Arab Saudi boleh menyebabkan jemaah haji negara mengalami strok haba.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata cuaca panas dan kering boleh membawa kepada kenaikan suhu dan kehilangan air daripada badan sehingga mengakibatkan strok haba jika terdedah kepada cuaca tersebut.

"Strok haba jika tidak dicegah dan dirawat awal boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata jemaah haji perlu peka terhadap simptom strok haba seperti kulit kering dan berlaku kemerah-merahan, lidah dan bibir kering, pening kepala, kekejangan otot serta pengsan.

Menurutnya, jemaah haji perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom tersebut di pusat kesihatan yang disediakan Tabung Haji (TH).

Dr Asraf berkata semua jemaah haji berisiko terkena strok haba, namun warga emas berusia lebih 60 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan buah pinggang, lebih berisiko.

"Cara pencegahan daripada mengalami strok haba adalah kita perlu mengelakkan daripada berada di bawah panas matahari yang terik untuk satu tempoh masa yang lama.

"Memastikan kita sentiasa menghidrasi diri kita dengan minum sekurang-kurangnya dua liter air, memakai payung atau losyen pelindung matahari dan memakai pakaian yang longgar," katanya.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 284 orang dijadual tiba di Madinah, esok.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan