Cuaca panas Kelantan jejas penternakan ikan; penternak turut rugi
Hampir 100 penternak ikan kerapu dan siakap dalam sangkar di Laguna Tujoh, Kelantan berdepan kerugian apabila cuaca panas yang melanda negeri itu sejak dua minggu lalu menyebabkan banyak ternakan mereka mati.
Kelantan kini berdepan cuaca panas, menyebabkan kebanyakan ikan kerapu, siakap dalam sangkar mati. (Gambar: Wikimedia Commons)
KELANTAN: Hampir 100 penternak ikan kerapu dan siakap dalam sangkar di Laguna Tujoh, Kelantan berdepan kerugian apabila cuaca panas yang melanda negeri itu sejak dua minggu lalu menyebabkan banyak ternakan mereka mati.
Seorang penternak, Zailani Ariffin, berkata setiap hari jumlah ikan yang mati semakin meningkat berbanding bulan lalu.
"Kami semua berkampung di sini untuk memantau keadaan ikan dalam sangkar masing-masing selepas mengesan banyak ikan mati kebelakangan ini, apatah lagi hampir 80 peratus ikan yang ada di dalam sangkar ketika ini masih kecil dan lebih sensitif dengan perubahan cuaca," katanya ketika ditemui agensi berita Bernama pada Selasa (5 Mac).
Beliau berkata cuaca panas dan paras air di kawasan laguna yang semakin menyusut menyebabkan bekalan oksigen di dalam air berkurangan, sekaligus memberi kesan terhadap ternakan menyebabkan ikan mudah kehilangan sisik dan cepat mati.
Menurut Encik Zailani, kebanyakan penternak ikan sangkar mula menggunakan enjin galah dan 'blower' bagi mengatasi masalah itu daripada terus berlanjutan.
"Kami berusaha menggunakan pelbagai alternatif bagi menyelamatkan ternakan daripada mati kerana sudah mengeluarkan kos yang besar untuk membeli anak ikan kerapu dan siakap yang mencecah RM1.50 (S$0.50) seekor selain membeli makanan ikan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh, Saifullah Che Mat, berkata kira-kira 50 tan metrik ikan mati di laguna berkenaan setiap tahun dengan anggaran kerugian kira-kira RM750,000 (S$249,000).
Encik Saifullah berkata penyusutan paras air akibat cuaca panas menyebabkan kadar kemasinan meningkat dan memberi kesan kepada ternakan apabila tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.
"Selain kesan cuaca panas, kawasan ternakan di Laguna Tujoh yang semakin cetek tahun demi tahun memburukkan keadaan dan kerugian penternak semakin meningkat saban tahun," katanya.
Beliau berkata sebahagian penternak mengambil keputusan menjual sangkar masing-masing kepada penternak baru selepas gagal meraih keuntungan akibat masalah yang timbul.
Encik Saifullah, yang juga seorang penternak ikan siakap, berkata Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang mendapati Laguna Tujoh mampu mengeluarkan 300 tan metrik ikan sangkar setahun.
Bagaimanapun, sasaran itu belum dapat direalisasikan berikutan pelbagai kekangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini meluluskan peruntukan berjumlah RM29 juta (S$9.6 juta) bagi projek mendalamkan muara Laguna Tujoh.
"Projek tersebut dijangka dilaksana bermula bulan ini. Kami harap kerajaan dapat menyegerakan kerja-kerja tersebut bagi memastikan penternak tidak lagi terus berdepan kerugian sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran," katanya.
Kelantan kini berdepan cuaca panas walaupun monsun Timur Laut dijangka berakhir hujung bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.