Skip to main content

Dunia

Cuaca ekstrem, konflik Timur Tengah bawa cabaran besar buat Asia Tenggara: Grace Fu

Anggaran Waktu Membaca:
 Cuaca ekstrem, konflik Timur Tengah bawa cabaran besar buat Asia Tenggara: Grace Fu

Penduduk berjalan di tengah panas terik di Bangkok. (Gambar: CNA/Jarupat Karunyaprasit)

Diterbitkan : 07 May 2026 10:14AM Dikemas Kini : 07 May 2026 10:15AM
SINGAPURA: Asia Tenggara kini berdepan dengan situasi mencabar atau "perfect storm" yang berpunca daripada dua ancaman serentak iaitu ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.

Perkara ini menekankan betapa pentingnya langkah-langkah kemampanan untuk membina daya tahan jangka panjang, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu, pada Khamis (7 Mei).

Berucap di Dialog Singapura ke-13 mengenai Sumber Dunia Mampan di Hotel One Farrer, Cik Fu berkata tekanan gabungan daripada perkembangan ini memberi kesan serius kepada sektor komoditi pertanian di rantau ini, selain menjejas pekerjaan, kesihatan awam, dan keselamatan makanan.

Perkembangan geopolitik, terutamanya konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, menjadi perhatian utama. Ia memburukkan lagi kelemahan ekonomi, gangguan rantaian bekalan, dan tekanan inflasi.

Sektor pertanian kini mengalami kenaikan kos pengeluaran dan gangguan di laluan maritim penting, seperti Selat Hormuz. Ini akan memberi kesan berantai kepada sektor pertanian, terutamanya dalam penghasilan baja.

Cik Fu menambah harga baja yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan boleh menjejas hasil tanaman, makanan haiwan, dan akhirnya meningkatkan harga makanan.

Pada masa yang sama, perubahan iklim menyebabkan cuaca ekstrem di Asia Tenggara.

Cik Fu menarik perhatian kepada ribut tropika yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di Filipina, Malaysia, dan Vietnam. Suhu juga melonjak naik, di mana Bangkok mencatatkan indeks haba melebihi 52 darjah Celcius awal minggu ini.

Rantau ini juga sedang bersedia menghadapi musim kemarau yang lebih panas daripada biasa, dengan potensi kitaran "Godzilla El Nino" yang boleh memburukkan lagi kesan perubahan iklim dan menyebabkan kemarau panjang. Keadaan yang lebih panas dan kering ini juga meningkatkan risiko kebakaran hutan yang boleh menyebabkan jerebu.

Di sebalik cabaran ini, Cik Fu berkata krisis ini menunjukkan bagaimana kemampanan membolehkan pertumbuhan dan daya tahan jangka panjang.

"Sambil kita bersedia untuk mengharungi masa yang tidak menentu, kita tidak seharusnya membiarkan krisis ini berlalu begitu sahaja tanpa mengambil peluang untuk meningkatkan daya tahan kita," katanya.

KEMAMPANAN SEBAGAI PELINDUNG

Cik Fu menjelaskan bagaimana kemampanan boleh memperkukuh rantaian bekalan dan kestabilan ekonomi.

Walaupun konflik di Timur Tengah menunjukkan bagaimana perdagangan boleh terganggu, amalan mampan, seperti menukar sisa kelapa sawit menjadi baja organik, boleh mengurangkan pergantungan kepada pasaran bahan api fosil.

Sebagai pengeksport utama produk pertanian ke Kesatuan Eropah, amalan mampan dapat meningkatkan reputasi produk Asia Tenggara dan membantu syarikat meraih kelebihan pasaran jangka panjang.

Walaupun suhu panas dan kemarau boleh menjejaskan hasil, amalan seperti penggiliran tanaman dan pertanian regeneratif boleh membantu mengekalkan keseimbangan ekologi.

Namun, Cik Fu memberi amaran tentang risiko baharu di mana piawaian kemampanan mungkin dijadikan sebagai halangan perdagangan.

Beliau juga menekankan tentang risiko "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga", di mana langkah kemampanan boleh gagal jika ada pembekal yang bermasalah. Ketidakpatuhan oleh satu pembekal sahaja boleh menjejas seluruh ekosistem perniagaan.

KERJASAMA ASEAN

Dalam menghadapi cabaran ini, Cik Fu berkata kerjasama serantau adalah anak kunci utama. Minggu lalu, anggota ASEAN mengadakan mesyuarat khas mengenai pertanian dan perhutanan bagi membincangkan situasi di Timur Tengah.

Negara-negara anggota menegaskan keperluan untuk bekerjasama bagi melindungi keselamatan makanan dan rantaian bekalan.

Usaha juga sedang dijalankan untuk memperkukuh kerjasama dalam isu jerebu merentas sempadan. Cik Fu menggesa negara-negara agar terus berwaspada terhadap risiko jerebu berdasarkan ramalan cuaca semasa.

Beliau menambah rantau ini berpeluang membangunkan ekosistem hijau melalui inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN dan strategi neutraliti karbon serantau.

Singapura, yang akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan, akan terus memacu usaha ini.

Di peringkat domestik, Singapura melancarkan Singapore Food Story 2 untuk memperkukuh perkongsian global.

Singapura juga menandatangani perjanjian dengan negara-negara rakan kerjasama seperti Australia dan New Zealand untuk memastikan aliran barangan tidak terputus.

Negara ini juga sedang menjalankan kajian mengenai kesan perubahan iklim terhadap pertanian di rantau ini, yang dijangka siap lewat tahun ini dan akan dikongsi bersama negara-negara ASEAN yang lain.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita