Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cuaca ekstrem di Asia pada April diburukkan oleh perubahan iklim, kata saintis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cuaca melampau di seluruh Asia bulan lalu diburukkan lagi oleh perubahan iklim yang didorong oleh manusia, kata sepasukan saintis antarabangsa pada Rabu (15 Mei).

Berbilion manusia di merata benua itu terjejas oleh suhu memecah rekod sepanjang April, di mana sekolah terpaksa ditutup, tanaman rosak dan ratusan orang terbunuh akibat penyakit berkaitan haba, kata pakar iklim dari kumpulan World Weather Attribution dalam satu laporan.

Myanmar, Laos dan Vietnam mencatatkan cuaca paling panas pada bulan April, manakala suhu di India mencecah setinggi 46 darjah Celsius (114.8 Fahrenheit), dedah kumpulan tersebut.

"Dari Gaza ke Delhi ke Manila, orang menderita dan mati ketika suhu pada April meningkat di Asia," kata Friederike Otto, Pensyarah Kanan Sains Iklim di Institut Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Grantham, salah seorang pengarang laporan itu.

"Gelombang haba sentiasa berlaku. Namun dengan peningkatan suhu, didorong pengeluaran minyak, gas dan arang batu, ia menyebabkan ramai orang mati."

Di Filipina, salah satu negara yang paling teruk terjejas, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan, menutup sekolah dan melaksanakan catuan bekalan elektrik sedang suhu meningkat mengancam grid daya tenaga negara tersebut.
Sebahagian kawasan Timur Tengah menyaksikan suhu memecahkan rekod antara 24 hingga 26 April, dengan suhu di Tel Aviv mencecah 40.7 darjah Celsius. Suhu melampau di Asia barat naik lima kali ganda, berkemungkinan berpunca daripada perubahan iklim, anggar laporan itu.

Suhu di sekitar Kolkata, India, pada akhir April mencecah 46 darjah Celsius, 10 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata bermusim, dengan perubahan iklim menyebabkan suhu melampau di seluruh Asia Selatan 45 kali lebih tinggi, tambah laporan tersebut.

Menurut Carolina Pereira Marghidan, daripada Pusat Iklim Bulan Sabit Merah dan Palang Merah, pemerintah Asia harus mengambil tindakan untuk menyesuaikan diri dengan suhu yang meningkat dan meminimumkan risiko kepada kesihatan, terutamanya terhadap penduduk yang terdedah.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan