COVID-19: Tumpuan siasatan punca patut beralih ke Amerika, kata pakar penyakit China
Seorang pakar epidemiologi dari China berkata Amerika Syarikat seharusnya menjadi tumpuan utama fasa selanjutnya dalam siasatan ke atas asal usul COVID-19.
SHANGHAI: Seorang pakar epidemiologi dari China berkata Amerika Syarikat seharusnya menjadi tumpuan utama fasa selanjutnya dalam siasatan ke atas asal usul COVID-19 selepas satu kajian menunjukkan bahawa penyakit itu mungkin sudah menular di negara tersebut seawal Disember 2019, lapor media negara itu pada Khamis (17 Jun).
Kajian yang diterbitkan Institut-Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH) minggu ini, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya tujuh orang dari lima wilayah Amerika dijangkiti SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19 beberapa minggu sebelum negara berkenaan melaporkan kes pertamanya secara rasmi.
Kajian bersama oleh China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada Mac menyatakan bahawa virus itu kemungkinan besar berasal daripada perdagangan haiwan liar negara tersebut dengan virus daripara kelawar menjangkiti manusia menerusi spesies perantara.
Namun Beijing mengajukan teori bahawa COVID-19 memasuki negaranya dari luar negara melalui makanan beku yang tercemar manakala beberapa ahli politik menggesa lebih banyak siasatan dilakukan ke atas kemungkinan berlakunya kebocoran di sebuah makmal di China.
Dr Zeng Guang, ketua epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China memberitahu tabloid milik negara itu, Global Times, bahawa tumpuan sepatutnya dialihkan ke Amerika Syarikat yang lambat menguji penduduknya pada peringkat awal penularan dan juga menempatkan banyak makmal biologi.
Meurujuk kepada kajian Amerika Syarikat itu pada Rabu (16 Jun), jurucakap kementerian luar negara Encik Zhao Lijian berkata kini lebih "jelas" bahawa penularan COVID-19 terdapat "beberapa punca" lantas negara-negara lain seharusnya bekerjasama dengan WHO juga.
Asal usul pandemik itu merupakan sumber ketegangan politik antara China dengan Amerika Syarikat dengan banyak tumpuan baru-baru ini pada Institut Virologi Wuhan di mana penularan virus pertama kali dikenal pasti pada hujung 2019.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.