Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19 tidak lagi darurat kesihatan global, umum WHO

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19 tidak lagi darurat kesihatan global, umum WHO

(Gambar: Fusion Medical Animation/Unsplash)

Diterbitkan : 05 May 2023 10:26PM Dikemas Kini : 05 May 2023 10:49PM

LONDON: COVID-19 tidak lagi merupakan satu darurat kesihatan global, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (5 Mei). 

Perisytiharan itu juga merupakan satu langkah besar ke arah usaha menamatkan pandemik tersebut yang meragut nyawa lebih 6.9 juta penduduk dunia, menjejas teruk ekonomi global dan memusnahkan masyarakat, lapor Reuters.

"Semalam, Jawatankuasa Kecemasan mengadakan mesyuarat yang ke-15 dan 
menyarankan kepada saya supaya mengisytiharkan bahawa status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) sudah berakhir. Saya memutuskan untuk menerima nasihat itu. 

"Oleh demikian, saya mengisytiharkan bahawa COVID-19 tidak lagi merupakan satu darurat kesihatan global," kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. 

Jawatankuasa Kecemasan COVID-19 pertama kali mengisytiharkan amaran tahap tertinggi buat COVID-19 lebih tiga tahun yang lalu pada 30 Januari 2020. Status itu membolehkan masyarakat antarabangsa untuk memberi tumpuan kepada ancaman kesihatan itu, di samping mempertingkatkan kerjasama bagi menghasilkan vaksin dan rawatan. 

Menarik balik status itu menandakan kemajuan yang telah dicapai dalam aspek-aspek tersebut, tetapi COVID-19 masih wujud, menurut WHO, sekalipun ia bukan lagi satu darurat. 

Kadar kematian semakin merosot daripada paras kemuncak lebih 100,000 orang setiap minggu pada Januari 2021 kepada hanya lebih 3,500 dalam seminggu  hingga 24 April, menurut data WHO. 

"Namun, ia tidak bermakna bahawa COVID-19 bukan satu ancaman kesihatan global," tekan Encik Ghebreyesus. 

WHO tidak mengisytiharkan permulaan atau akhir pandemik, meskipun ia mula menggunakan terma COVID pada Mac 2020. 

Tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan bahawa pandemik sudah berakhir. Seperti banyak negara lain, ekonomi terbesar dunia itu sudah mula menarik balik keadaan darurat COVID-19, yang bermakna ia tidak lagi akan membiayai perkara-perkara seperti vaksin.

Sumber : Reuters/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan