Skip to main content

Dunia

COVID-19: Pandemik beri kesan teruk terhadap remaja, kata PBB

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Ogos) memberi amaran krisis COVID-19 boleh memberi kesan teruk dan berpanjangan terhadap prospek kehidupan golongan dewasa muda tanpa tindakan pemulihan yang cepat.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Pandemik beri kesan teruk terhadap remaja, kata PBB

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Aug 2020 04:03PM Dikemas Kini : 12 Aug 2020 04:13PM

GENEVA: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Ogos) memberi amaran krisis COVID-19 boleh memberi kesan teruk dan berpanjangan terhadap prospek kehidupan golongan dewasa muda tanpa tindakan pemulihan yang cepat.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) PBB berkata, prospek kerjaya belia yang berusia 18 hingga 29 tahun juga mengalami kesan dari pandemik COVID-19.

Para pelajar pula menghadapi "suasana masa depan suram" disebabkan kesannya terhadap pendidikan mereka.

Laporan ILO bertajuk 'Belia dan COVID-19: kesan pada pekerjaan, pendidikan, hak dan kesejahteraan mental' menyatakan kesan krisis lebih banyak menjejas golongan dewasa muda dan tidak seimbang.

Laporan itu berdasarkan Tinjauan Global terhadap lebih 12,000 orang muda berusia 18 hingga 29 tahun yang dilakukan secara online dalam 23 bahasa di 112 negara antara 21 April dan 21 Mei.

Para responden sebilangan besarnya terdiri daripada golongan berpendidikan yang mempunyai akses internet, mewakili pelajar dan dewasa muda yang bekerja dan berkelulusan pengajian tinggi.

"Kajian mendapati kesan pandemik pada belia menjadi sistematik, mendalam dan tidak seimbang terutama pada wanita muda, remaja dan remaja di negara berpendapatan rendah,"menurut laporan itu.

"Kecuali tindakan segera diambil, golongan muda akan mengalami kesan teruk dan berkekalan akibat pandemik itu".

Tinjauan itu turut mendapati 13 peratus responden tidak mempunyai akses pada kursus, pengajaran atau latihan, sementara lebih 70 peratus berkata mereka terjejas teruk oleh penutupan pusat pendidikan mereka.

Dengan kursus yang beralih online, tinjauan itu menunjukkan "wujud jurang digital mendalam" terutama bagi belia di negara berpendapatan rendah.

Maka itu, ia menggesa bagi akses yang lebih baik bagi peluang pembelajaran online dan program pengajaran yang disesuaikan dengan peserta maya.

"Pandemik ini juga memberi kesan teruk pada pekerja muda, memusnahkan peluang pekerjaan dan merosakkan prospek kerjaya mereka.

Ia mendapati 17 peratus yang bekerja sebelum berlaku COVID-19 berhenti kerja sama sekali.

Tambahnya, 17 peratus "mungkin mengalami" kesan kegelisahan dan kemurungan.

Ia menggesa perkhidmatan kesihatan mental diperluaskan kepada orang-orang muda yang berdepan dengan gangguan pada kerjaya atau pendidikan mereka.

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita