COVID-19 menular di pub Australia; kes Omicron timbul susuli pesta di kapal pesiaran
Jangkitan COVID-19 semakin menular di pub dan kelab-kelab di bandar terbesar Australia. Ini termasuk tiga kes baru varian Omicron yang dikesan dalam kalangan mereka yang menghadiri pesta di kapal pesiaran, sekali gus menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan pengesanan kontak.
Para pelanggan menjamu selera di sebuah bar di Sydney pada 11 Oktober 2021 selepas sekatan pergerakan dilonggarkan. (Gambar: AFP)
SYDNEY: Jangkitan COVID-19 semakin menular di pub dan kelab-kelab di bandar terbesar Australia. Ini termasuk tiga kes baru varian Omicron yang dikesan dalam kalangan mereka yang menghadiri pesta di kapal pesiaran, sekali gus menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan pengesanan kontak.
Pihak berkuasa melonggarkan sekatan pergerakan di Sydney selepas empat bulan apabila kadar vaksinasi penduduk semakin meningkat.
"Kami melihat penularan semakin meningkat di tempat-tempat sosial yang lebih besar dan ini menyumbang kepada kenaikan jumlah kes di sini," kata Timbalan Ketua Pegawai Kesihatan Marianna Gale dalam satu video yang dimuat naik ke Twitter.
Puluhan orang yang menghadiri sebuah acara di pub disahkan positif koronavirus dan pihak berkuasa sedang menantikan keputusan ujian genom untuk memastikan sama ada mereka dijangkiti varian Omicron.
Jumlah harian kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dengan pelonggaran sekatan di wilayah New South Wales itu, termasuk Sydney. Sebanyak 420 kes baru dilaporkan hari ini (9 Dis), iaitu lonjakan tertinggi dalam sekitar dua bulan, dengan kebanyakkannya dijangkiti varian Delta.
Sekalipun demikian, jumlah kes jangkitan Omicron juga semakin meningkat sedikit demi sedikit sejak Australia melaporan kes pertama varian Omicron sekitar dua minggu lalu.
Kira-kira 50 kes jangkitan varian Omicron sudah dikesan, termasuk tiga kes berkaitan dengan satu acara yang diadakan di atas sebuah bot di Sydney.
Varian Omicron berpotensi lebih mudah berjangkit berbanding varian-varian sebelum ini, meskipun gejala awal menunjukkan penyakit yang kurang serius. Tiada seorang pun daripada 151 pesakit di hospital di New South Wales yang dijangkiti varian Omicron.
Berbanding negara-negara lain, prestasi Australia membendung pandemik jauh lebih baik, dengan hampir 224,000 kes dan 2,082 korban jiwa dilaporkan. Sebahagian besarnya disebabkan keputusan untuk menutup sempadan mereka pada Mac 2020.
Namun, penutupan sempadan itu menghalang kemasukan pekerja hijrahan berkemahiran sekali gus menyebabkan kadar pertumbuhan lembab penduduk, dengan perniagaan-perniagaan merungut tentang isu kekurangan pekerja.
Kadar kesuburan yang semakin merosot sehingga mencapai rekod terendah tahun lepas, juga memburukkan lagi keadaan, menurut data rasmi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.