Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: M'sia catat lebih 1,700 kes baru; Selangor saksikan rekod harian baru tertinggi

Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi bagi COVID-19 dengan 673 kes iaitu 39.5 peratus daripada keseluruhan 1,704 jumlah kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: M'sia catat lebih 1,700 kes baru; Selangor saksikan rekod harian baru tertinggi

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 03 Jan 2021 10:01PM Dikemas Kini : 03 Jan 2021 10:06PM

KUALA LUMPUR: Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi bagi COVID-19 dengan 673 kes iaitu 39.5 peratus daripada keseluruhan 1,704 jumlah kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 119,077 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 21,365 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,699 kes,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini (3 Jan).

Beliau memaklumkan daripada 673 kes baru di Selangor, 509 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya Sabah merupakan negeri kedua tertinggi dengan 316 kes (18.5 peratus) diikuti Johor sebanyak 179 kes (10.5 peratus).

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 74 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tujuh), Kluster Tembok Choh (lima), Kluster Tembok Gajah (tiga), Kluster Tembok (dua) dan Kluster Kolam Air (satu).

Beliau turut memaklumkan sejumlah 11 kematian direkodkan hari ini membabitkan 10 rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara berumur lingkungan 53 hingga 77 tahun, yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan.

Ketika ini terdapat 124 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 51 memerlukan alat bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 2,726 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 ialah sebanyak 97,218 (81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan