COVID-19: Hong Kong lapor varian yang tidak dapat dikesan
Hong Kong melaporkan varian koronavirus yang tidak dapat dikesan sekaligus memaksa penghuni sebuah tapak penginapan dipindahkan manakala kontak rapat orang yang dijangkiti segera menjalani kuarantin, kata penguasa kesihatan, menurut Agensi Anadolu.

(Gambar hiasan: NEXU Science Communication menerusi Reuters)
ANKARA: Hong Kong melaporkan varian koronavirus yang tidak dapat dikesan sekaligus memaksa penghuni sebuah tapak penginapan dipindahkan manakala kontak rapat orang yang dijangkiti segera menjalani kuarantin, kata penguasa kesihatan, menurut Agensi Anadolu.
Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Hong Kong pada Khamis (29 Apr), satu kes positif dengan varian koronavirus N501Y dilaporkan lewat petang.
"Memandangkan varian N501Y sangat mudah merebak, Pusat Perlindungan Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan dengan mengatur kuarantin wajib bagi semua penghuni tanpa gejala dalam bangunan berkenaan. Ini bagi menghentikan potensi risiko penularan jenis mutan N501Y," menurut kenyataan itu. Ia menambah sumber jangkitan masih belum diketahui.
Kes tersebut melibatkan seorang pembantu rumah Filipina berusia 39 tahun yang menjaga seorang bayi perempuan 10 bulan, yang juga diuji positif COVID-19.
Pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan perintah pemindahan bagi kuarantin di kawasan Tung Chung. Penghuni yang tidak bergejala di semua unit di setiap tingkat bangunan tersebut - melibatkan sekitar 400 unit - dipindahkan ke pusat kuarantin, tambah kenyataan berkenaan.
Penghuni yang menunjukkan gejala pula dimasukkan ke hospital bagi rawatan dan menjalani kuarantin wajib selama 21 hari.
Pembawa varian itu tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan baru-baru ini.
Wanita itu mengunjungi sebuah gereja dan Pusat bagi Perlindungan Kesihatan mengenakan kuarantin wajib ke atas kontak rapat pesakit itu yang menghadiri perhimpunan gereja dengan wanita berkenaan.
Sejauh ini, Hong Kong melaporkan 11,771 kes koronavirus termasuk 209 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.