COVID-19 himpit golongan gelandangan di Jakarta, paling teruk terdedah risiko kesihatan
(Gambar: Nivell Rayda)
JAKARTA: Pandemik COVID-19 menjejas teruk ribuan gelandangan di Jakarta yang tiada tempat berteduh.
Ramai juga menyaksikan sumber pendapatan mereka yang tidak sebanyak mana semakin menguncup. Mereka yang selalunya membuat persembahan di jalanan atau mengemis juga melihat jumlah orang yang ingin menyumbang juga merosot secara mendadak, sedang penduduk Jakarta dinasihati jangan keluar rumah agar penularan koronavirus dapat dibendung.
INI KISAH DEDE, GELANDANGAN 70-AN TAHUN
Sudah berhari-hari, Dede, yang berusia 70-an tahun tidak sihat badan. Dede menunjukkan beberapa simptom jangkitan COVID-19, seperti sakit tekak, batuk yang berlarutan, lenguh otot dan demam.
Ini adalah kali kedua Dede, yang sudah tiga dekad hidup gelandangan menunjukkan gejala COVID-19.
Meskipun tidur hanya beberapa ratus meter dari kemudahan ujian COVID-19, Dede enggan menjalani ujian tersebut.
Kos menjalani ujian pantas antigen (ART) menelan belanja dua kali ganda pendapatan hariannya yang diraih daripada mengumpul botol plastik yang dijual kepada kedai pengitar semula.
"Jika saya habiskan wang untuk menjalani ujian, apa saya nak makan?" kata Dede kepada Mediacorp di depan bangunan tiga tingkat yang kosong, tempat dia tidur setiap malam.
Pakar kesihatan awam berkata gelandangan lebih terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 kerana mereka tinggal di kawasan sesak dengan kebersihan dan sanitasi yang buruk. Mereka menghabiskan sebahagian besar masa terdedah kepada cuaca melampau dan kadangkala kurang zat makanan yang boleh menurunkan sistem imun mereka. Akses kepada vaksin juga menjadi satu masalah.
Badan-badan sosial sudah meningkatkan usaha untuk membantu golongan ini. Namun, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk kurang kesedaran awam dan rasa sangsi daripada golongan itu sendiri.
Menurut data Agensi Ehwal Sosial Jakarta, jumlah penduduk yang dikatakan "berdepan dengan masalah kebajikan sosial" sedang meningkat.
Di Jakarta Tengah misalnya, salah satu daripada enam daerah kota itu, agensi tersebut melaporkan terdapat 256 orang tinggal di jalanan pada 2020.
Namun, pada September 2021, jumlahnya meningkat kepada 1,377.
Para aktivis bagaimanapun berkata jumlah sebenar lebih tinggi lagi kerana agensi tersebut hanya mengira mereka yang dilihat berkeliaran dan dibawa ke tempat perteduhan yang dikendalikan pemerintah.
Kebanyakan yang tinggal di jalanan, masih tidak dikesan.
SEMAKIN RAMAI HIDUP GELANDANGAN
Pada masa yang sama, lebih ramai yang kehilangan tempat tinggal mereka selepas hilang mata pencarian mereka.
Walter Simbolon, seorang pengurus di kumpulan amal Sahabat Anak berkata beliau mendapati lebih ramai hidup gelandangan sejak pandemik bermula.
"Ramai pekerja sambilan menyaksikan gaji mereka merosot kepada hampir sifar," katanya kepada Mediacorp.
Pekerja sepenuh masa pula yang dibuang kerja kini mencari nafkah dengan menjual tisu atau minuman di jalanan, tambahnya.
"Mereka semua sedang menderita kerana tempat-tempat pelancongan ditutup dan sebarang perhimpunan tidak dibenarkan pihak berkuasa. Pada masa yang sama, ramai yang tidak mahu membeli barangan daripada mereka kerana takut dijangkiti," katanya lagi.
Namun, sukar untuk mengira dengan tepat jumlah penduduk yang hidup gelandangan, kata pakar dasar awam Trubus Rahadiansyah kepada Mediacorp.
"Rakaman dokumen bagi golongan ini hanya sedikit. Sebelum pandemik pun, golongan terpinggir sering dilupa dan tidak diendahkan. Mereka juga tidak ingin mendedahkan identiti mereka. Oleh itu, data bagi golongan ini jarang dapat disahkan dan boleh dipercayai," kata pensyarah Universiti Trisakti di Jakarta.
RISIKO JANGKITAN LEBIH TINGGI, KURANG AKSES KEPADA VAKSIN
Windhu Purnomo, seorang pakar epidemiologi dari Universiti Airlangga di Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia, berkata golongan gelandangan ini lebih berisiko dijangkiti COVID-19 berbanding penduduk biasa kerana keadaan hidup mereka.
"Mereka hidup dalam persekitaran yang tidak bersih dan selalunya berinteraksi dengan ramai orang di tempat-tempat sesak," katanya kepada Mediacorp.
Selain itu, mereka juga terdedah kepada cuaca melampau dan keracunan makanan ataupun makanan kurang berkhasiat kerana tidak boleh memilih makanan mereka.
"Ini akan menurunkan daya imun mereka. Lantaran itu, mereka lebih senang dijangkiti penyakit," tambahnya lagi.
Selain itu, golongan gelandangan mungkin menghidap penyakit-penyakit lain atau berada dalam kelompok umur yang lemah sekali gus meningkatkan risiko jangkitan bagi mereka.
Purnomo percaya apa yang diperlukan untuk mengurangkan risiko jangkitan adalah untuk memudahkan mereka akses kepada vaksin.
Namun, hambatan utama ialah tidak semua daripada mereka mempunyai kad pengenalan.
Aktivis, Simbolon pula berkata ramai yang hidup gelandangan ini mencurigai niat pemerintah, meskipun pegawai sedang cuba mengurangkan risiko mereka dijangkiti COVID-19 atau memberikan mereka jagaan yang diperlukan.
"Disebab mereka tidak ada akses kepada Internet atau televisyen, apa yang mereka tahu tentang COVID-19 adalah daripada khabar angin dan sukar untuk kami buang mitos dan tipu helah yang sangat mereka percayai," katanya.
"Ramai yang tidak percaya COVID-19 wujud. Ada juga yang percaya ianya sekadar satu konspirasi. Mereka percaya, jika mereka ditangkap, mereka akan kemungkinan besar diisytiharkan positif COVID-19 dan harus menjalani pengasingan diri supaya pemerintah dapat mengosongkan tempat yang mereka tinggal."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.