COVID-19 cetus lonjakan terbesar kelaparan sejagat dalam tempoh beberapa dekad
Pandemik COVID-19 telah menyebabkanjumlah penduduk dunia yang menderita kelaparan meningkat sebanyak sekitar 18 peratus, menurut satu laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Isnin (13 Jul).
Para penduduk di Kathmandu menantikan giliran mendapatkan makanan. (Gambar: REUTERS)
PARIS: Pandemik COVID-19 telah menyebabkan jumlah penduduk dunia yang menderita kelaparan meningkat sebanyak sekitar 18 peratus, menurut satu laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Isnin (13 Jul).
Malah, laporan itu memberi amaran penularan virus tersebut menjejas teruk usaha untuk mencapai matlamat membasmi kelaparan di dunia menjelang 2030.
"Kemerosotan ekonomi akibat langkah sekatan bagi membendung penularan COVID-19 di seluruh dunia, telah menyumbang kepada salah satu peningkatan terbesar kelaparan sejagat dalam tempoh beberapa dekad," menurut laporan tahunan mengenai jaminan makanan yang dikumpulkan beberapa agensi PBB.
Sebuah keluarga yang terjejas oleh COVID-19 di Nigeria. (Gambar: REUTERS)
Meskipun kesan penuh pandemik COVID-19 belum dapat dipastikan, laporan itu menganggarkan sekitar 118 juta lagi orang menderita kelaparan pada 2020 berbanding 2019, iaitu satu pertambahan 18 peratus.
"Hampir seorang daripada setiap tiga penduduk di dunia (2.37 bilion) tidak mendapat akses kepada makanan yang mencukupi pada 2020 - meningkat hampir 320 juta orang dalam masa hanya setahun," tambah laporan itu.
Seorang daripada setiap 10 orang mengalami kekurangan zat makanan.
Keadaan itu berleluasa memandangkan hampir semua negara berpendapatan rendah dan sederhana mengalami kemerosotan ekonomi.
Bagaimanapun, kesan terbesar dialami negara yang turut menghadapi bencana berkaitan dengan iklim atau konflik atau kedua-duanya.
Menurut laporan itu lagi, lebih separuh penduduk yang berdepan kekurangan zat makanan tinggal di Asia (418 juta), lebih satu pertiga lagi di Afrika (282 juta) dan lapan peratus di Amerika Latin (60 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.