COVID-19 bukan selesema biasa, tegas pakar epidemiologi

(Gambar hiasan: Martin Sanchez/Unsplash)
JAKARTA: Pakar epidemiologi Australia di Universiti Griffith, Dicky Budiman, menggesa orang ramai supaya jangan menyamakan simptom-simptom COVID-19 dengan tanda-tanda demam selesema biasa.
"Sebagai seorang doktor, saya pernah terlibat dalam program-program pemulihan HIV/AIDS. Simptom-simptom HIV/AIDS serupa dengan COVID-19. Namun, adakah ia serupa dengan demam selesema? Tidak. Begitu juga dengan COVID-19, ia bukan demam selesema yang biasa dan penyakit itu tidak akan menjadi demam selesema yang biasa," menurut Encik Dicky semasa dihubungi ANTARA pada Sabtu (5 Feb).
Pakar epidemiologi itu mengakui bahawa terdapat persamaan antara gejala COVID-19 dengan demam selesema seperti batuk, hidung berair dan juga demam.
Namun, terdapat perbezaan di mana para pesakit yang dijangkiti COVID-19 mengalami masalah olfaktori (berkaitan dengan deria bau), walaupun para pesakit Omicron jarang mengalami simptom sedemikian. Varian Omicron pula lebih mudah berjangkit dan lebih pantas merebak berbanding demam selesema biasa. Lantaran itu, COVID-19 tidak boleh disamakan dengan demam selesema biasa.
"Simptom-simptom yang serupa demam selesema memang wujud. Namun, ia bukan demam selesema. Kita perlu tahu bahawa semua penyakit yang teruk sebegini adalah seperti demam selesema. Ia dikenali sebagai penyakit-penyakit yang serupa dengan demam selesema," menurutnya lagi.
Encik Dicky turut menekankan sebarang varian COVID-19 tidak boleh merebak secara semula jadi, dan ia memerlukan perantara untuk menjangkiti orang lain. Jika orang ramai tidak menghadkan kegiatan mereka dan melaksanakan protokol kesihatan dengan tegas, penularan COVID-19 akan menjadi semakin tidak terkawal.
Pakar epidemiologi tersebut juga menerangkan bahawa COVID-19 membawa kesan jangka panjang yang boleh menurunkan mutu kesihatan awam. Jika ia berlarutan, pandemik ini akan membebankan ekonomi negara.
Beliau juga mengatakan bahawa kemunculan jangkitan COVID-19 yang tidak bergejala tidak bermaksud penyakit ini akan melemah, tetapi sebenarnya disebabkan oleh vaksinasi, yang sudah diperluaskan.
Selain itu, suntikan dos penggalak boleh meningkatkan perlindungan dan mengurangkan kemudaratan jangkitan COVID-19.
Sungguhpun demikian, orang ramai tidak seharusnya bergantung kepada vaksinasi saja dan mereka perlu melindungi diri dengan mematuhi protokol-protokol kesihatan supaya peningkatan kes dapat dikawal.
Protokol-protokol kesihatan yang boleh dipatuhi termasuk memakai pelitup, mencuci tangan dengan sabun dan menjaga jarak satu hingga dua meter dari orang lain. Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan mengurangkan pergerakan yang tidak penting.
Encik Dicky juga merayu kepada orang ramai supaya mendapatkan maklumat tentang pandemik bukan sahaja melalui media sosial, tetapi juga maklumat sahih yang diperolehi daripada para pakar dan mereka yang berpengetahuan dalam bidang sains.
"Orang ramai mesti faham bahawa penularan varian Omicron bukan satu komplot. Tanggapan sedemikian adalah salah dan perlu dibetulkan," tegasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.