COVID-19: 62% kes jangkitan di M'sia terkait kelompok tabligh
Kira-kira 62 peratus pesakit diuji positif COVID-19 selepas disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah golongan yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, hujung bulan lalu.

Anggota polis di luar Masjid Seri Petaling, tempat yang menjadi sumber kepada ratusan kes positif COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)
KUALA LUMPUR: Kira-kira 62 peratus pesakit diuji positif COVID-19 selepas disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah golongan yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, hujung bulan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya melakukan saringan terhadap sekitar 13,000 jemaah tabligh dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,700 sampel sudah diambil.
“Kita dah laksanakan lebih kurang 13,000 saringan dan sampel yang diambil ialah 6,700. Daripada jumlah 6,700 itu, yang dilaporkan positif adalah seramai 940 orang.
“Jadi, untuk jumlah kumulatif kes COVID-19 yang kita ada hari ini ialah 1,518 kes. Ini bermakna, lebih kurang 62 peratus merupakan jemaah tabligh,” ujar beliau semasa sidang media KKM di Putrajaya pada Isnin (23 Mac), seperti ditukil oleh Astro AWANI.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu pihaknya meneruskan usaha mengesan jemaah tabligh yang belum membuat saringan dan menggalakkan mereka agar segera berbuat demikian.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mereka, seterusnya membawa mereka datang ke hospital atau klinik untuk disaring.
“Itu yang penting, apabila kita dapat mengesan mereka, baru kita akan melaksanakan ujian COVID-19. Kalau positif, mereka akan dimasukkan ke hospital atau ke pusat kuarantin,” tambah Dr Noor Hisham.
Beliau pada masa sama menegaskan jemaah tabligh terlibat tetap perlu menjalani saringan walaupun tidak mengalami sebarang simptom.
“Sebelum ini, kita ikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kita hanya ambil sampel mereka yang mempunyai gejala sahaja... kalau tiada gejala kita periksa tapi tak ambil ujian. Tetapi bermula hari ini, kita telah setuju untuk buat ujian saringan walaupun tiada gejala,” ujar Dr Noor Hisham lanjut.
Sementara itu, empat kematian akibat COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu sekali gus membawa angka korban kepada 14 di negara itu setakat Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.