Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVAX peruntuk agihan pertama 330 juta dos vaksin COVID-19 ke negara miskin

Program pengedaran vaksin antarabangsa, COVAX memperuntukkan sekurang-kurangnya 330 juta dos vaksin COVID-19 untuk negara-negara miskin dan menyasarkan untuk mengagihkannya dan jutaan lagi dos pada separuh pertama 2021, kata agensi-agensi yang menerajui skim tersebut pada Rabu (3 Februari).

Anggaran Waktu Membaca:
COVAX peruntuk agihan pertama 330 juta dos vaksin COVID-19 ke negara miskin

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Feb 2021 08:37AM Dikemas Kini : 04 Feb 2021 08:42AM

GENEVA/LONDON: Program pengedaran vaksin antarabangsa, COVAX memperuntukkan sekurang-kurangnya 330 juta dos vaksin COVID-19 untuk negara-negara miskin dan menyasarkan untuk mengagihkannya dan jutaan lagi dos pada separuh pertama 2021, kata agensi-agensi yang menerajui skim tersebut pada Rabu (3 Februari).

Menerbitkan rancangan pengedaran sementara, Pelan COVAX menyatakan bahawa pengagihan akan meliputi purata 3.3 peratus penduduk daripada 145 negara yang mengambil bahagian dalam pusingan awal.

Peruntukan tersebut termasuk 240 juta dos vaksin COVID-19 AstraZeneca-Oxford yang dibuat oleh Serum Institute of India, tambahan 96 juta dos vaksin sama buatan AstraZeneca, dan 1.2 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

COVAX diterajui bersama oleh perikatan GAVI yang menjamin vaksin untuk negara-negara miskin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Gabungan bagi Inovasi Kesediaan Wabak dan Dana Kanak-Kanak PBB.

Pihaknya menyatakan peruntukan dan pengagihan akan bergantung kepada pelbagai syarat, termasuk kelulusan darurat WHO bagi vaksin, dan kesediaan dan penerimaan negara-negara.

Pegawai WHO, Ann Lindstrand berkata dalam satu taklimat bahawa dos-dos pertama COVAX - merangkumi vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech - seharusnya diedarkan "diharapkan pada hujung Februari, awal bulan Mac".

Afrika Selatan, Cap Verde dan Rwanda akan menjadi antara negara pertama di Afrika untuk menerima suntikan Pfizer, tambahnya.

Pelan peruntukan COVAX dilaksanakan sedang bekalan vaksin masih terhad, bahkan termasuk di negara-negara kaya yang membolot kebanyakan daripada dos awal.

Ketua eksekutif GAVI Seth Berkley berkata bahawa 96 juta dos COVAX yang diperuntukkan dari AstraZeneca adalah kurang daripada 153 juta dos yang dijanjikan COVAX dalam tempoh ini. Beliau menjelaskan ini "bukan kerana bekalan kami dialihkan ke tempat lain" tetapi disebabkan oleh kelewatan dalam mendapatkan kelulusan bagi penggunaan darurat oleh WHO.

Secara keseluruhan, 190 negara telah menyertai COVAX, yang dilancarkan April lalu dengan tujuan memastikan akses yang adil kepada vaksin semasa pandemik.

Encik Berkley berkata minggu lalu bahawa COVAX menyasarkan untuk mengedarkan sejumlah 2.3 bilion dos menjelang hujung tahun, termasuk 1.8 bilion kepada negara-negara berpendapatan rendah tanpa sebarang kos ditanggung oleh pemerintah negara-negara tersebut.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan