COVAX edar 500 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara miskin
Lebih 500 juta dos vaksin COVID-19 sudah diedarkan di seluruh dunia menerusi program COVAX yang bertujuan untuk memberi akses global yang saksama kepada vaksin.
(Gambar: Agensi berita)
GENEVA: Lebih 500 juta dos vaksin COVID-19 sudah diedarkan di seluruh dunia menerusi program COVAX yang bertujuan untuk memberi akses global yang saksama kepada vaksin.
COVAX ditubuhkan untuk memastikan negara miskin mendapat bekalan suntikan. Namun, kemudahan itu menghadapi masalah apabila negara kaya menempah dos berlebihan dari negara pengeluar.
COVAX, yang diketuai bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persekutuan Vaksin GAVI, dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), pada awal tahun menyatakan ia berharap dapat mengedarkan dua bilion dos pada 2021.
"Usaha kerja keras dan dedikasi luar biasa daripada rakan kongsi dan pekerja kesihatan, COVAX sudah mengedarkan 500 juta vaksin COVID-19 ke 144 negara dan wilayah," kata Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley di Twitter.
Menurutnya, 92 wilayah termiskin boleh mengakses suntikan secara percuma melalui COVAX, dengan penderma menanggung kosnya.
"COVAX berdepan cabaran pada 2021 dalam bentuk larangan eksport, kekurangan bekalan dan nasionalisme vaksin.
"Namun kini, ketibaan bekalan vaksin di negara miskin meningkat dengan pantas sedang kami berusaha memastikan negara mempunyai seberapa banyak dos yang mereka mampu uruskan,"kata Berkley lagi.
"Apabila penderma dan pengilang memaklumkan bila dos tiba, negara boleh merancang pelancaran negara secara besar-besaran. Ini satu-satunya cara merapatkan jurang vaksinasi global."
Berdasarkan kiraan AFP, lebih 7.5 bilion dos vaksin sudah diberikan di merata dunia.
Bagaimanapun, GAVI menyatakan lima daripada negara termiskin di dunia iaitu Chad, DR Congo, Congo, Haiti, Sudan Selatan dan Yaman tidak mempunyai dos yang mencukupi untuk mencapai vaksinasi dua peratus daripada penduduk mereka.
Skim pembangunan dan perolehan kolektif COVAX ditubuhkan untuk mengatasi kemungkinan sebahagian besar dunia tidak mendapat akses kepada mana-mana vaksin.
Menurut unjurannya, ia seharusnya berkuat kuasa sepanjang 2022.
Sementara itu, menurut WHO lebih 3.3 juta kes koronavirus baru dilaporkan minggu lalu, naik enam peratus berbanding minggu sebelumnya.
Hampir 50,000 kematian baru dilaporkan dalam tempoh sama, dengan semua wilayah dilaporkan stabil atau menunjukkan trend menurun kecuali Eropah yang mencatat peningkatan lima peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.