CNN pecat tiga pekerja tidak divaksin masuk ke pejabat
Tiga pekerja CNN dipecat kerana melanggar dasar COVID-19 rangkaian berita itu dengan masuk pejabat tanpa divaksinasi, lapor media Amerika Syarikat.
(Gambar: New York Times menerusi TODAYonline)
WASHINGTON: Tiga pekerja CNN dipecat kerana melanggar dasar COVID-19 rangkaian berita itu dengan masuk pejabat tanpa divaksinasi, lapor media Amerika Syarikat.
Dalam satu memo yang diemel kepada kakitangan pada Khamis (5 Ogos) dan diperolehi beberapa media Amerika, Presiden CNN, Jeff Zucker, berkata sejak seminggu yang lalu syarikat itu dimaklumkan mengenai tiga pekerja yang datang ke pejabat tanpa menerima suntikan vaksin.
Ketiga-tiga mereka sudah diberhentikan.
"Saya tegaskan di sini - kami tidak akan bertolak ansur mengenai hal ini," katanya dalam memo yang dimuatnaik wartawan CNN, Oliver Darcy di akaun Twitternya.
Memo itu tidak menyatakan nama, jawatan atau lokasi pejabat pekerja yang dipecat.
CNN juga enggan mengulas lanjut.
Rangkaian itu bergantung kepada sistem berasaskan kejujuran yang memerlukan pekerja mendapatkan suntikan tetapi tidak menuntut mereka menunjukkan bukti.
Bagaimanapun Zucker berkata, ia mungkin berubah pada masa hadapan.
Pada Mei lalu, pemerintah persekutuan Amerika memutuskan, adalah sah bagi majikan untuk menghendaki kakitangan yang secara fizikal memasuki tempat kerja agar mendapatkan vaksinasi COVID-19.
Syarikat teknologi gergasi termasuk Facebook, Google dan Microsoft berkata, mereka akan meminta pekerja mendapatkan vaksinasi sebelum kembali ke pejabat di Amerika.
Syarikat itu adalah antara beberapa majikan utama yang baru-baru ini menyemak semula dasar virus mereka, mandat vaksin atau tarikh kembali ke pejabat berikutan varian Delta yang cepat menular mendorong peningkatan kes COVID-19.
Dalam catatannya kepada kakitangan, Zucker berkata, CNN akan menangguhkan tarikh kembali pejabat pada 7 September, kemungkinan sehingga bulan Oktober.
Katanya, kira-kira satu pertiga daripada kakitangan bilik berita Amerika pada masa ini bekerja di pejabat secara sukarela.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.