Skip to main content

Dunia

CIA sahkan Putera Mahkota Saudi dalang pembunuhan Khashoggi

Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mengesahkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang sangat berpengaruh sebagai dalang di sebalik pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor The Washington Post yang menukil sumber-sumber yang rapat tentang kes itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Nov 2018 10:27AM Dikemas Kini : 17 Nov 2018 09:28PM

WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mengesahkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang sangat berpengaruh sebagai dalang di sebalik pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor The Washington Post yang menukil sumber-sumber yang rapat tentang kes itu.

Hasil siasatan Amerika berbeza dengan dakwaan pendakwa raya Saudi yang menolak pelibatan Putera Mahkota Mohammed dalam kes tersebut, hanya sehari sebelum itu.

Menurut hasil siasatan CIA, 15 ejen Saudi terbang ke Istanbul dengan menaiki pesawat kerajaan dan membunuh Khashoggi dalam bangunan konsulat Saudi, lapor Washington Post.

CIA bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika pertanyaan diajukan AFP.

Khashoggi, seorang penulis rencana untuk Washington Post, ketika itu pergi ke konsulat tersebut bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk menikahi tunangnya yang berasal dari Turki.

Arab Saudi berulang kali menukar kenyataan rasminya tentang pembunuhan yang berlaku pada 2 Oktober. Ia pada awalnya menafikan tahu tentang keberadaan Khashoggi dan kemudian menyatakan beliau dibunuh dalam satu pertelingkahan dengan pegawai keselamatan yang bertukar menjadi ganas.

Dalam kenyataan terbaru oleh seorang pendakwa Saudi, satu pasukan yang dianggotai 15 orang dibentuk bagi membawa Khashoggi dari Istanbul "secara paksa" - tetapi akhirnya membunuh dan mengerat-ngerat mayatnya dalam satu operasi "kejam".

CIA berjaya mendapat beberapa bukti, menurut Washington Post, antaranya termasuk panggilan telefon antara adik Putera Mahkota Mohammed - duta Saudi di Amerika Syarikat - dengan Khashoggi. Adiknya dilaporkan memberitahu Khashoggi bahawa selamat untuk ke konsulat di Istanbul bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan.

CIA juga menyatakan bahawa mustahil Putera Mahkota itu tidak terlibat memandangkan beliau nyatanya seseorang yang berpengaruh di Arab Saudi, lapor Washington Post lagi yang menukil seorang pegawai rasmi.

Malah, Putera Mahkota Mohammed digelar seorang "teknokrat baik" yang bagaimanapun sukar ditafsir dan "tidak mengerti akan perkara-perkara yang tidak seharusnya dilakukan".

Hasil siasatan CIA dijangka menegangkan lagi hubungan antara Washington dengan Riyadh, yang menggesa supaya perbincangan tentang kematian Khashoggi dihentikan dan menolak sebarang siasatan antarabangsa. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita